Thursday, 30 June 2011

Pagiku gelap, malamku malap.

Usia remaja, mencari hiburan dan kesenangan bukan minatku. Malah mencari hidayah dan taufiq adalah kesenanganku. Hal ini mungkin terhasil dari asas ilmu dan pengetahuan tentang agama yang dipahat kedua orang tuaku dalam diri ini sejak kecil dulu.
Namun kini, aku yang tinggal di kawasan yang berpenghuni sebaya denganku yang minatnya dengan hiburan yang sungguh meninggi membuatkan hidupku semakin terdesak dengan pengaruh mereka. Bukanlah hasrat mereka ingin mempengaruh aku, dan aku juga bukan memaksa diriku untuk dipengaruhi mereka. Namun itulah namanya “terpengaruh” yang aku fahami di sini iaitu tidak ada yang cuba mempengaruh dan tidak ada yang cuba dipengaruh dan hanya “terpengaruh”.
Dulunya aku tidak menghisap rokok, kerana aku sedar merokok merbahayakan kesihatan, dan sekarang aku juga masih tidak menghisap rokok kerana aku masih sedar merokok masih merbahayakan kesihatan.
Dulunya aku tidak suka mendengar lagu-lagu jiwang kerana aku tahu bahawa lagu-lagu tersebut akan membuatkan aku lalai dari mengingati Allah yang menciptakan aku dengan segala kemewahan hidup ini. Sekarang, aku semakin sebati dengan lagu-lagu tersebut kerana dalam mindaku tiada rasa salah untuk melakukannya. Lagu-lagu yang sebelum ini jika kawanku menadakannya, maka segera aku menutup gegendang telingaku dari mendengar getaran muziknya. Akan tetapi kini, aku yang mencarinya untuk menghayatinya. Aku lupa dari kesedaran yang sebenar. Aku tenggelam dalam kesulitan dan kekalutan fikiran.
Dahulunya aku bersikap tegas dengan sesuatu yang aku ketahui dan aku yakini. Akan kini, ia tiada lagi. Entah kemana hilangnya, mungkin bayang nya  sahaja yang masih ku miliki. Aku takut, aku takut dan aku takut. Digelar orang yang sentiasa melakukan dosa kecil itu sebagai Fasiq. Maka apa yang aku lakukan semasa ini semuanya mendorong kepada kealpaan dan kelalaian dari mengingati Yang Maha Pencipta. Pastinya ia membantu untuk aku mendapat dosa. Jika aku terus kekal dengannya, maka aku takut, aku juga tergolong dalam golongan Fasiq.
Dulu, pagiku dihiasi solat sunat sebelum subuh sebelum aku mendirikan solat subuh. Sekarang, aku mendirikan subuh ketika berdirinya matahari. Sudah tidak dapat aku dengar rintihan jam loceng yang menggejutkan aku pada pukul 5.45 a.m.. Adakah dalam telingaku ini sudah dipenuhi najis syaitan? Aku tak pasti. Apa yang aku pasti, bila terdengar suara jam loceng, maka aku mula menggeliat sambil berkata “Kejap lagi lah”, maka aku pun bangun pada pukul 7.15 a.m.. Dulu juga waktu dhuha yang aku miliki terasa sebagai waktu dhuha yang Allah miliki. Itu kerana aku selalu meletakkan dahi di tempat sujudku. Sujud kepada allah sebagai tanda syukur dan meminta pertolongan kepada Allah. Akan tetapi kini, aku bagai merasakan waktu dhuha ini hanya milikku yang semata-mata milikku. Aku buat apa yang mahu aku buat tanpa berpaksikan ketaatan kepada tuhan lagi. Aku hidup dengan hanya mengikut nafsu tanpa kembali melihat landasan agama yang sebenarnya. Begitulah kehidupan sepagian aku.
Sebenarnya jika aku hamba yang bersyukur pastinya aku menghayati setiap kurniaan Allah kepada aku. Setiap nafas yang aku miliki setiap kali diafragma aku menarik ke dalam dan menolak ke luar, maka sepatutnya setiap tika itu aku mensyukurinya. Nikmat bernafas menjadi satu punca aku menikmati nikmat yang lain. Akan tetapi aku tidak sedar bahawa kurniaan Allah yang ternilai itu diberikan kepada aku untuk aku menghayatinya. Malah aku menidakkannya. Apa tidaknya, aku menggunakan nafas yang diberikan Allah untuk memperoleh murka Allah. Entah apa sudah jadi dengan aku. Setiap kali aku bersembahyang aku meminta dalam Fatihahku, “tunjukkan aku jalan yang sebenar. Jalan yang orang Engkau beri nikmat kepadanya, dan bukanlah orang yang mencari kemurkaanmu”. Aku pinta itu, tetapi aku cari yang lain. Bagaikan aku ingin meminum susu lembu tetapi aku membunuh lembu tersebut. Bagaikan aku ingin berteduh dibawah pondok tetapi aku meruntuhkannya. Sungguh malang aku ini. Sudah nampak jalan tetapi kabur untuk melangkah berjalan.
Pagiku gelap untuk berjalan menerusi lorong yang bersinar. Manakala malamku malap untuk melalui liku-liku yang lurus. Maka, ingin aku simpulkan kini, pagiku gelap, malamku malam malap. Aku nampak jalan yang sepatutnya aku lalui, namun aku teralih dari melaluinya. Wahai tuhan, beri petunjuk, beri kekuatan kepada hamba-Mu yang hina ini. Aku merayu, aku meminta. Hanya Engkau tempat merayu dan hanya pertolongan-Mu pertolongan yang aku perlu.

Wednesday, 29 June 2011

Assalamualaikum

...................... (titik noktah juga akhirnya bernoktah!)