Tuesday, 20 December 2011

Jiranku, Dia Berubah

          Mencintai jiran adalah salah satu tanggungjawab besar bagi seorang mukmin. Seorang yang mengakui bahawa dia mengimani Hari Akhirat juga boleh dibuktikan dengan mencintai jirannya. Sekarang, aku berdepan dengan jiranku. Juga saudaraku dan kekasihku.
          Dulunya, dia adalah lambang keburukan. Terkilas dia di mata, sudah tahu ke mana hala tujunya. Kalau tidak mencuri, maka meneguk araklah kerjanya. Sehinggakan orang kampung sudah bengang dengan sikapnya dan mula memerhatikannya sebagai seorang lelaki yang merbahaya. Selalu aku lihat dia balik dalam  keadaan mabuk dan khayal. Terkadang dia balik dalam keadaan berbahasa Inggeris, berbahasa India, berbahasa Cina malah kadang-kadang berbahasa Arab. Akan tetapi sayang, bahasa yang diungkapkan itu tidak dapat difahami walaupun oleh dirinya sendiri.
Tidak cukup dengan itu, dia juga memberikan layanan yang sangat teruk kepada ibubapanya. Aku sentiasa menggelengkan kepala apabila mendengar nada suaranya yang sangat tinggi di hadapan ibunya. Dengan keburukannya, pasti sesiapa sahaja akan berkata bahawa tiada jalan baik bagi manusia seperti ini. Pasti dia akan kabur dengan dunia sehingga terpisah jasad dengan rohnya. Namun, kita tersilap. Aku tersilap. Allah itu Maha Penguasa. Pemegang hati segala makhluk. Kini, orang itu telah berubah.`
Kini, dia membaluti kepalanya dengan mahkota cantik untuk mengerjakan sembahyang. Lilitan dari kain berwarna putih bercampur hitam yang aku saksikan terlilit kemas di kepalanya menyentap jiwa ku. Dulunya, botol di tangan. Kininya, tasbih dipegang. Itu semua kuasa Allah. Kuasa Allah yang mahu menyedarkan aku dan orang sekeliling aku bahawa manusia mempunyai potensi untuk berubah. Cuma kita sebagai orang awam mestilah bersikap terbuka dan berusaha membantu mereka.
 Jadi, sepatutnya kita perlulah lebih terbuka apabila melihat manusia yang berakhlak jahat. Jangan menutup terus pintu kemaafan bagi dirinya untuk masuk. Ingatlah bahawa kita dituntut untuk memaafkan. Apa salahnya kita memaafkan? Wujudkah kebaikan dengan tidak memaafkan? Malah, saya yakin bahawa ada kesan buruk pada diri kita jika tidak memaafkan. Rasa benci dan marah yang berada di dalam diri akan mempengaruhi banyak perkara lain yang ada dalam kehidupan kita. Oleh itu, tidak perlu kita rasa tertekan jika melihat orang yang berakhlak buruk. Buka hati dan lapangkan dada. Fikirkan jalan penyelesaian. Jangan hanya melihat dan berkata, “Sudah tak ada jalan bagi manusia macam tu…”. Akan tetapi sepatutnya kita berkata, “Allah telah memberikan kita pilihan, lalu ke atas kita dibebankan tugasan itu. Dan, orang dihadapan aku ini sudah tersalah memilih jalannya. Ya Allah, kembalikan dia pada jalan yang engkau redhai.”
Agak-agaknya…. Jika kita adalah orang yang tersalah memilih jalan, manakah tafsiran ke atas kita yang kita mahukan? Oleh itu, ubahlah persepsi kita apabila melihat orang yang berbuat jahat. Positiflah. Yakinlah, fikiran yang positif menjamin hidup yang lebih bahagia.