Saturday, 19 November 2011

Statusku Kembali ‘Single’, Namun Terbina ‘In Relationship With’ dengan Mu

Aku telah mengenali apa itu cinta melalui seorang gadis yang haram aku cintai. Lalu, dengan cintaku kepadanya, aku dikecewakan. Agak padan muka aku. Luka parah hati aku kerana cinta haram tersebut. Aku sedar, aku banyak berdosa kerana cinta itu. Aku menjadi manusia hipokrit kerana cinta itu. Itu semua kerana cinta itu adalah cinta yang aku cipta, lalu cinta itu menjadi fana.
          Sekarang, aku bangun dari lamunan lama aku. Tergerak hati aku untuk mengintai dijendela hari. Tergamam aku apabila aku menyedari bahawa aku sebenarnya sudah jauh tersasar dari jalanan yang betul. Aku bersyukur wahai tuhan yang menciptakan seluruh alam ini. Terima kasih kerana menyedarkan aku.
          Sekarang, cinta yang aku ada bukan cinta nista lagi. Cinta yang aku genggam sekarang adalah cinta cinta. Aku mencinta dalam dicinta. Sungguh rugi aku kerana baru sekarang aku berpeluang merasakan nikmatnya cinta ini. Nikmat yang tiada lidah di dunia ini mampu bicarakan. Sungguh, nikmat. Terima kasih di atas satu lagi nikmat terbesar yang Engkau sumbangkan kepadaku wahai tuhan.
          Dulu, semasa mencintai si gadis itu, aku buta melihat warna kebenaran. Bukan kerana buta warna, tetapi kerana buta hati dek dosa yang menyelubungi hati. Selubungi hati dengan titik hitam yang mengaburkan mata hati. Lalu, rosaklah hati dan rosaklah diri aku seluruhnya.
          Namun, aku bersyukur. Suatu hari engkau meninggalkan aku. Kata engkau, aku tiada lagi di hatimu dan engkau sudah ada pengganti. Wah, sangat mudah hatimu menyalin cinta. Aku kecewa. Aku bingung. Fikiranku terganggu dan aku mula faham kenapa logiknya orang yang ditinggalkan kekasih sanggup menggadaikan nyawa(Nauzubillah). Sudah hilang madunya, engkau buangkan sepahnya. Tapi seingat aku, tiada madu dari aku yang engkau sedut. Bahkan racun yang engkau sedut. Bukan engkau seorang, malah aku juga. Kita bersama menyedut racun dan kita bersama meninggalkan sepahnya. Akan tetapi sekarang, cinta haram kita sudah tidak wujud lagi. Namun aku bimbang kerana engau sudah mempunyai lubuk baru untuk menyedut racun. Aku bimbang akan engkau dan aku berdoa agar engkau selamat di akhirat.
          Kini aku solo. Namun, cinta yang aku miliki sekarang melebihi cinta seorang lelaki beristeri empat kepada para isterinya(InsyaAllah). Aku gembira dengan solo ini dan cinta ini. Semoga cinta yang aku timba bersama gadis itu menjadi alas dan hamparan untuk aku lebih mengenali cinta kepada yang sepatutnya. Aku berdoa kepada tuhan yang memegang ubun-ubun segala makhluk, jangan engkau palingkan hati ini dari terus mencintaimu dan biarkan aku kekal berstatus ‘in relationship with’ denganMu.

No comments:

Post a Comment