Monday, 23 January 2012

Kerana Ilmu Tiada, Gelap Dirasa Terang Bercahaya

          Ilmu ialah suluhan cahaya  bagi manusia. Terang atau malap sebuah cahaya itu bergantung kepada dalamnya ilmu seseorang itu. Semakin dalam ilmunya, semakin terang cahayanya. Semakin mudah jalannya untuk seseorang untuk berjalan menuju destinasi yang kekal abadi. Jalan yang berlopak dielak. Jalan yang berliku tidak payah untuk dilalu. Begitulah perumpamaan bagi mereka yang banyak ilmunya.
          Akan tetapi, malang pula bagi orang yang berilmu yang tidak menggunakan ilmunya. Sudah terang jalannya, denai yang berduri pula dilalui. Jalan yang lurus di depan mata, jalan berlengkok pula dipilihnya. Malang sungguh bukan? Jangan kita jadi begitu. Sudah dapat peluang terbaik, jangan dipersia dan jangan dibiar bersisa.
          Ingatlah, tidak semua orang mempunyai peluang untuk mendapatkan ilmu. Kita yang punyai ilmu, perlu syukuri segala yang ada. Perlu nikmati segala adanya. Bagaimana? Tentulah dengan mengamalkannya. Sebagai contohnya, betapa ramai antara kita yang tahu fadhilat dan kelebihan solat berjemaah. Betapa ramai yang telah menghafal hadis berkenaan kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Akan tetapi, adakah dapat dipastikan bilangan yang menghafal dan memahami hadis tersebut mengamalkan solat berjemaah. Saya yakin bahawa kelebihan solat berjemaah itu diketahui oleh ramai manusia. Dari yang banyak ilmunya, kepadalah yang kurang ilmunya. Akan tetapi, sedikit sahaja yang mampu menjaganya.
          Walaupun begitu, kita harus sedar bahawa suatu dorongan dan rasa ingin buat juga hadir dengan adanya ilmu. Punca hidayah seseorang juga biasanya berasaskan ilmu. Ramai yang telah kita lihat berubah menjadi baik setelah jahat. Menjadi orang yang disayangi setelah lama menjadi orang yang dibenci. Peratusan berubah lebih banyak pabila seseorang sudah mempunyai asas. Hal ini telah terbukti. Seorang pencuri pada zaman Rasulullah telah berubah setelah kekal melakukan solat. Dan perlu kita tahu bahawa solat  juga adalah asas bagi agama. Begitulah juga dengan ilmu. Ilmu umpama kubu yang tersimpan dalam diri yang mampu mengubah hitam kepada putih lebih mudah dengan izin Allah.
          Apa yang paling kita bimbangi adalah jika ilmu gersang di dalam dada. Pemikiran akan bercambah mengikut rentak cahaya yang menyuluhnya. Proses photosynthesis juga terganggu prosesnya dengan kurangnya cahaya. Pemikiran yang bercambah dengan tidak subur masih tidak mengapa. Yang paling kita bimbang adalah cahaya atau ilmu sangat malap dan hampir tiada. Lalu, bukan percambahan yang terjadi, malah pokok yang tidak menerima cahaya itu boleh mati!

Sudah Keliru Kemana Harus Terbias Rasa Malu
          Saya datangkan kisah yang benar-benar terjadi di hadapan saya. Pada suatu hari, sedang saya menunggu di tempat membasuh kereta. Saya menemani abang ipar saya membasuh keretanya di situ. Tiba-tiba datang seorang perempuan muda membawa anaknya. Lagaknya perempuan muda itu seperti seorang cina yang bukan Islam. Dan pada awalnya memang saya bersangka begitu(maafkan saya wahai perempuan muda). Rupa-rupanya dia adalah seorang Melayu Islam.
          Memang tidak bertudung, malah rambutnya diwarnakan dengan warna putih keemasan. Baju yang dipakai sangat ketat dan sangat tidak sesuai dengan masyarakat tempat saya membasuh kereta itu.
          Anaknya masih kecil. Mungkin usianya dalam lingkungan 4 atau 5 tahu. Akan tetapi masih membawa susu di dalam botol. Jika melihat kepada emaknya, pasti anda dapat membayangkan bagaimana perhiasan dan pemakaian yang dipakaikan kepada anaknya kan? Ya, memang agak tidak sesuai pakaian yang terdapat pada anaknya itu. Tambahan pula anaknya juga perempuan.
          Tiba-tiba ada seorang lelaki yang menegur anaknya, “Wah, sudah besar masih hisap susu dalam botol ya.” Perempuan muda itu kelihatan sangat malu. Mukanya hampir merah. Dia segera menjawab, “Itulah pasal, saya dah nasihatkan dia. Jangan minum susu dalam botol sebab dia dah besar. Tapi dia ni degil.” Anaknya terkebil-kebil melihat wajah ibunya yang sedang merah itu.
          Anda dapat lihat kan betapa malunya perempuan muda itu apabila ditegur mengenai tabiat minum susu dalam botol yang masih melekat pada anaknya. Itu kerana perempuan itu tahu bahawa kanak-kanak yang berusia 4-5 tahun sudah tidak sesuai minum susu dalam botol. Lalu apabila anaknya melakukannya, dia merasa segan dan malu. Di sinilah saya terfikir, mengapakah tidak timbul rasa segan dan malu dalam diri perempuan muda itu untuk berpakaian begitu. Mungkin terdapat banyak factor yang mempengaruhi perbuatan itu.
Namun, saya yakin. Pengetahuan dan kesedaran serta kefahaman ilmu sangat cetek dalam dirinya. Lalu tindakan yang dibuat telah mencerminkan bahawa dia masih keliru untuk menimbulkan rasa malu yang bertempat. Jelas menunjukkan ilmu yang kurang telah membantutkan rasa malu dalam bermaksiat malah membantu perempuan muda itu mengagungkan tindaktanduk yang jahat.

Saturday, 21 January 2012

Terimalah Wahai Tuhan...

Ya Allah, engkau benarkanlah dirinya agar menjauh dari fikiran ku ini. Aku sungguh berharap wahai tuhan yang amat berkuasa. Aku lemah wahai tuhan. Aku tidak mampu untuk mendepani segala kesulitan dan kepayahan ini. Tanpa pertolongan-Mu, aku pasti aku tidak akan terdaya untuk menjadi hamba yang taat akan takdiran-Mu.
Ya Allah, aku tahu aku lemah dan kerana itu aku meminta pertolongan dari-Mu. Aku tahu tiada penyembuh yang lain selain engkau. Tiada kuasa dan kutrat yang lain melainkan engkau. Sungguh aku bingung untuk mendapatkan kebenaran yang aku tidak jelas ini. Aku terawang-awangan. Aku hanyut dibawa arus lamunan yang deras.
Wahai tuhan, aku tahu bahawa segala masalah yang telah engkau berikan kepada aku ini adalah untuk menguji aku, namun mengapa aku tidak mampu lagi untuk menghadapinya. Bukankah matlamat tertinggi aku untuk menjadi hamba-Mu yang sabar dengan segala ujian-Mu.
Ya Allah, aku mengadu pada-Mu. Engkaulah sebaik-baik pemberi sebarang kurniaan. Tiada sia-sia pada semua ciptaan-Mu. Pastinya ketetapan-Mu adalah ketetapan yang paling adil. Aku takut jika aku telah tersalah menyalahkan-Mu wahai tuhan. Bantulah aku untuk menyedari nya.
Aku mengaku bahawa aku telah banyak melakukan kemungkaran yang engkau larang. Aku tahu. Aku malu. Aku takut. Aku gerun. Aku pasrah segalanya kini wahai Pemilikku. Engkau yang mentadbirkan aku, lalu tadbirlah aku dengan ketetapan-Mu. Namun, aku tidak pasti, ke manakah hala tuju aku selepas ketiadaan aku dibumi ini lagi. Di syurga yang diimpikan atau di neraka yang mencelakakan? Lalu akan aku usaha untuk menjadi hamba-Mu yang taat dengan jalan syukur kepada-Mu kerana pada jalan itulah akan membawa aku menelusuri lembah nikmat hidup seorang hamba lantas menggapai syurga-Mu.
Ya allah, aku malu dengan kehidupan yang telah aku lalui. Lalu aku bermohon agar engkau kurniakan penghijrahan dalam hidup aku ini untuk menjadi manusia yang bersyukur. Manusia yang tahu mengenang jasa dan budi baik orang lain tehadap aku. Jika kepada manusia aku perlu berterima kasih dan mengenang budi meraka, apatah lagi kepada Engkau wahai tuhan yang telah memberikan pelbagai kurniaan. Sejak kecil aku dititipkan kasih sayang dan kemesraan oleh kedua ibu bapaku. Bukan sahaja mereka, engkau telah tetapkan orang di sekeliling aku untuk menyayangi aku juga. Aku sungguh bertuah kerana begitu banyak curahan kasih sayang kapada diriku.
Lalu, aku semestinya dan sewajarnya bersyukur kepada-Mu wahai tuhan. Segala deria yang engkau tumbuhkan pada jasad ini adalah sangat bermakna dan tiada nilaian harga. Lalu, jika dibandingkan dengan ujian yang sedikit yang engkau timpakan kepada ku itu sungguh tidak memadai untuk aku bermasam muka dengan mu wahai tuhan. Jika aku telah berbuat begitu sebelum ini, aku minta keampunan yang tiada hingganya daripada-Mu.  Allah, aku tahu. Engkau sayangkan aku dan engkau sayangkannya. Jika perpisahan ini terbaik bagi kami, aku terimanya walau jika semua ini telah terjadi angkara dia. Aku tahu… bahawa bukan dia yang sepatutnya aku dahulukan sebelum ini. Malah Engkau yang maha berkuasa yang cemburu dengan cinta dusta aku selama ini sepatutnya aku dahulukan. Ya Allah, selamatkanlah kami dari kemurkaan-Mu dan kami berharap agar segala tindakan kami selepas ini akan mendapat keredhaan-Mu. Tolonglah kami. Amin.

Nikmat Yang Bermanfaat Lagi Menyelamat

           Semua orang mempunyai hidup masing-masing. Tidak kira apa bangsanya, jenis keturunannya, kaya atau miskin, baik atau jahat, cantik atau hodoh dan sebagainya. Segalanya telah Allah tentukan, cuma kita yang perlu sentiasa berikhtiar untuk berada pada jalan yang Allah redhai.
        Hakikatnya, semua orang tahu dan menyedari bahawa dia tidaklah sempurna. Malah ketidaksempurnaan pada diri seseorang itu membuktikan bahawa dia adalah manusia yang sempurna. Kita boleh perhatikan firaun. Walaupun dia angkuh dan bongkak mendongak langit namun dia masih sedar bahawa dia adalah lemah dan tidak sempurna. Mungkin dia tidak menyatakan ketidaksempurnaannya dengan lisan, namun perlakuannya dapat kita tafsirkan bahawa Firaun juga menyedari bahawa dia juga lemah dan tidak sempurna.
        Telah terbukti bahawa Firaun memiliki tenteranya yang ramai. Hal ini adalah kerana Firaun tahu, tanpa tentera dan orang lain, dia juga tidak ada apa-apa. Di sinilah terzahir betapa manusia itu sebenarnya tahu bahawa dirinya lemah dan memerlukan bantuan yang lain. Di sinilah terpapar kenyataan bahawa manusia itu adalah bersifat dengan sifat ketidaksempurnaan yang amat berbeza sekali dengan penciptanya.

Tahu, Tapi Tidak Sedar
        Sungguh, tahu dan sedar adalah dua kalimah yang berbeza dari sudut ejaan dan maknanya. Hakikatnya, ramai yang tahu tapi ramai yang tidak sedar. Tahu tentang apa? Tahu tentang kehinaan diri dan kerendahan martabat diri manusia itu sendiri iaitu seorang hamba. Seorang hamba dan dilahirkan oleh seorang hamba juga. Dan asal-usulnya adalah seorang hamba juga iaitu Adam A.S.. Adam A.S. ditugaskan untuk menjadi hamba Allah dan begitu juga para zuriatnya. Adam mengajarkan ilmu kepada umatnya dan begitulah para rasul lainnya. Lalu, ramai yang tahu hakikat kehambaan diri seorang manusia ini.
        Tapi, malang sungguh kerana ramai yang telah tahu itu tidak sedar akan hakikat itu. Hanya sekadar tahu di minda tetapi tidak sedar di hati. Begitulah nasib yang menimpa bapa saudara nabi Muhammad iaitu Abu Talib. Bukanlah Abu Talib tidak tahu tentang kesahihan dan kebenaran Islam. Namun, dia hanya sekadar tahu dan tidak sedar bahawa Islam adalah agama dari Allah. Di situlah kita lihat bahawa sedar itu datangnya dari hidayah Allah. Tanpa hidayah dari Allah, segala pengetahuan yang tersemat di minda hanyalah sekadar bersifat tersemat yang tiada hikmat.
Biar Kita Tahu Dan Juga Kita Sedar
        Memang tiada apa daya dan kekuatan tanpa izin Allah. Biar kita tahu beribu ilmu, jika dikunci oleh yang menciptakan ilmu, lalu pastinya ilmu itu kekal dalam pengetahuan kita sahaja. Dan apabila dikunci oleh yang menciptakan ilmu itu, lalu ilmu tersebut tiada lagi bermanfaat kepada kita yang memiliki ilmu tersebut. Oleh itu, kita seharusnya sedar walaupun kita sudah memiliki ilmu yang banyak, jangan kita angkuh dan jangan kita bongkak. Pintalah kemampuan dari Allah untuk melaksanakan segala suruhannya. Pohonlah kekuatan dari Allah untuk menjadi daya bagi kita mempersembahkan ibadah kepada-Nya.
        Jika Allah telah mengizinkan kita untuk menyedari ilmu yang telah kita miliki, pastinya keberuntungan sedang berpihak ke arah kita. Kekadang kita tahu bahawa mengumpat itu berdosa, tetapi kerana leka dan tidak sedar, kita tetap melakukannya.
Para cendekiawan telah mengibaratkan ilmu sebagai sebatang pokok yang tidak berbuah jika tidak diamalkan. Benarlah. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang bagaikan tidak memberikan manfaat kepadanya bagaikan sebatang pokok durian yang tidak dapat memberikan buah durian kepada pemiliknya. Adakah patut sahaja pokok durian yang tidak berbuah itu ditebangkan sahaja, dan digantikan dengan pokok getah? Akan tetapi, hakikatnya, jika ditebang pokok yang tidak berguna itu dan ditanamkan pokok getah. Lalu pokok getah itu besar dan tidak pula ditoreh. Lalu tidaklah juga memberi manfaat kepada pemiliknya. Bukankah begitu?
Seharusnya, pokok yang telah tumbuh itu tidak sepatutnya ditebang kerana pokok itu masih boleh dibajai, diubati dan disuburi. Akan tetati, jika mahu ditanam semula dengan yang sama jenis dengannya, itu mungkin boleh. Begitulah juga dengan ilmu. Seharusnya, ilmu yang dimiliki oleh seseorang seharusnya sentiasa dibajai, diubati dan disuburi dengan sentiasa mengingati dan membesarkna tuhan. Barulah mudah untuk menjamin sesebuah ilmu itu mengeluarkan “buah”.
Ayuh, kembalikan hak ilmu yang berada di dalam diri kita. Apa yang kita ketahui terus kita laksanakan. Semoga ilmu yang kita ada, benar-benar ada dan adanya ilmu itu memberi manfaat yang banyak pada kita. Apalah guna ilmu jika kita masih miskin dalam bertindak. Analogi yang mudah. Kita punyai duit yang banyak, tetapi tidak digunakan untuk membelikan makanan. Lalu, terus kita mati dalam keadaan kebuluran. Bagitulah juga dengan ilmu. Kita punyai ilmu yang banyak, namun kerana terikut-ikut dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan, kita mengabaikan ilmu begitu sahaja. Lantas, mati kita dalam tidak beramal dan mempunyai bekal yang tidak mencukupi untuk menghadapi hari akhirat.
Sedarlah, ilmu itu untuk diamalkan. Tanpa amalan, apakah bakti dan budi ilmu pada pemiliknya. Percayalah, ilmu hanya bermanfaat apabila diamalkan. Oleh itu, berusahalah tingkatkan ilmu yang bermanfaat. Dan jangan pula leka untuk tingkatkan amalan pada ilmu yang telah kita ada agar wujudnya ilmu dalam diri kita sebagai sebuah nikmat yang bermanfaat lagi menyelamat.