Ya Allah, engkau benarkanlah dirinya agar menjauh dari fikiran ku ini. Aku sungguh berharap wahai tuhan yang amat berkuasa. Aku lemah wahai tuhan. Aku tidak mampu untuk mendepani segala kesulitan dan kepayahan ini. Tanpa pertolongan-Mu, aku pasti aku tidak akan terdaya untuk menjadi hamba yang taat akan takdiran-Mu.
Ya Allah, aku tahu aku lemah dan kerana itu aku meminta pertolongan dari-Mu. Aku tahu tiada penyembuh yang lain selain engkau. Tiada kuasa dan kutrat yang lain melainkan engkau. Sungguh aku bingung untuk mendapatkan kebenaran yang aku tidak jelas ini. Aku terawang-awangan. Aku hanyut dibawa arus lamunan yang deras.
Wahai tuhan, aku tahu bahawa segala masalah yang telah engkau berikan kepada aku ini adalah untuk menguji aku, namun mengapa aku tidak mampu lagi untuk menghadapinya. Bukankah matlamat tertinggi aku untuk menjadi hamba-Mu yang sabar dengan segala ujian-Mu.
Ya Allah, aku mengadu pada-Mu. Engkaulah sebaik-baik pemberi sebarang kurniaan. Tiada sia-sia pada semua ciptaan-Mu. Pastinya ketetapan-Mu adalah ketetapan yang paling adil. Aku takut jika aku telah tersalah menyalahkan-Mu wahai tuhan. Bantulah aku untuk menyedari nya.
Aku mengaku bahawa aku telah banyak melakukan kemungkaran yang engkau larang. Aku tahu. Aku malu. Aku takut. Aku gerun. Aku pasrah segalanya kini wahai Pemilikku. Engkau yang mentadbirkan aku, lalu tadbirlah aku dengan ketetapan-Mu. Namun, aku tidak pasti, ke manakah hala tuju aku selepas ketiadaan aku dibumi ini lagi. Di syurga yang diimpikan atau di neraka yang mencelakakan? Lalu akan aku usaha untuk menjadi hamba-Mu yang taat dengan jalan syukur kepada-Mu kerana pada jalan itulah akan membawa aku menelusuri lembah nikmat hidup seorang hamba lantas menggapai syurga-Mu.
Ya allah, aku malu dengan kehidupan yang telah aku lalui. Lalu aku bermohon agar engkau kurniakan penghijrahan dalam hidup aku ini untuk menjadi manusia yang bersyukur. Manusia yang tahu mengenang jasa dan budi baik orang lain tehadap aku. Jika kepada manusia aku perlu berterima kasih dan mengenang budi meraka, apatah lagi kepada Engkau wahai tuhan yang telah memberikan pelbagai kurniaan. Sejak kecil aku dititipkan kasih sayang dan kemesraan oleh kedua ibu bapaku. Bukan sahaja mereka, engkau telah tetapkan orang di sekeliling aku untuk menyayangi aku juga. Aku sungguh bertuah kerana begitu banyak curahan kasih sayang kapada diriku.
Lalu, aku semestinya dan sewajarnya bersyukur kepada-Mu wahai tuhan. Segala deria yang engkau tumbuhkan pada jasad ini adalah sangat bermakna dan tiada nilaian harga. Lalu, jika dibandingkan dengan ujian yang sedikit yang engkau timpakan kepada ku itu sungguh tidak memadai untuk aku bermasam muka dengan mu wahai tuhan. Jika aku telah berbuat begitu sebelum ini, aku minta keampunan yang tiada hingganya daripada-Mu. Allah, aku tahu. Engkau sayangkan aku dan engkau sayangkannya. Jika perpisahan ini terbaik bagi kami, aku terimanya walau jika semua ini telah terjadi angkara dia. Aku tahu… bahawa bukan dia yang sepatutnya aku dahulukan sebelum ini. Malah Engkau yang maha berkuasa yang cemburu dengan cinta dusta aku selama ini sepatutnya aku dahulukan. Ya Allah, selamatkanlah kami dari kemurkaan-Mu dan kami berharap agar segala tindakan kami selepas ini akan mendapat keredhaan-Mu. Tolonglah kami. Amin.
No comments:
Post a Comment