Sungguh
enak rasa mimpi yang kena dengan kehendak. Bangkit daripada tidur bagaikan
terpaksa apabila mimpi telah mengulit dengan asyiknya. Rasa tidak mahu bangun
dari tidur. Rasanya bagai mahu terus tidur dan bersama mimpi yang indah itu.
Asyik sungguh. Enam atau tujuh jam tidur terasa sangat sekejap. Bagaikan hanya
beberapa minit melelapkan mata, sudah tiba masa untuk membuka mata. Ah,
geramnya… aku mahu mimpi itu kembali lagi.
Kini
aku telah bangkit daripada tidur selama sejam. Kenangan bersama mimpi indah
sudah mula padam. Sudah semakin hilang dan hampir dilupakan. Baru sejam. Tapi,
jika dibandingkan dengan perasaan sewaktu mimpi, memang berbeza amat. Sekarang
mimpi itu bagaikan kenangan. Yang mahu dihadapi adalah kenyataan. Kenyataan
bahawa kita adalah hamba yang pastinya mempunyai kesulitan dan kesempitan
hidup. Pastinya memaksa kita untuk tidak berjaya memiliki semua yang kita
ingini.
Dalam
mimpi, sangat indah. Terbang ke sana, terbang ke sini. Sekejap di sana, sekejap
di sini. Namun, itulah yang mengasyikkan. Apatah lagi kita bermimpi sesuatu
yang memang kita ingini. Sesuatu yang tidak mungkin kita miliki tapi di dalam
mimpi, ia kita kuasai. Mahu sahaja kita bawanya keluar dari mimpi dan hidup
bersama di alam realiti. Tapi, tidak boleh. Ia hanya di dalam mimpi. Hanya
menghias dan menghibur di kala mata melihat kehitaman tidur.
Jangan
bimbang jika hari ini mimpi itu sekadar mimpi. Usahakan agar diri diberi nikmat
oleh Allah dengan Firdausi. Jika terlalu menginginkan apa yang ada di dalam
mimpi, minta sahaja di sana nanti. Jangankan mimpi, apa sahaja yang belum kita
termimpikan pun telah tersedia di sana. Janji Allah itu pasti. Teruskan usaha
di dunia ini agar di sana nanti kita dihadiahi dengan nikmat yang tidak pernah
diimpi.