Tuesday, 1 July 2014

Mimpi


Sungguh enak rasa mimpi yang kena dengan kehendak. Bangkit daripada tidur bagaikan terpaksa apabila mimpi telah mengulit dengan asyiknya. Rasa tidak mahu bangun dari tidur. Rasanya bagai mahu terus tidur dan bersama mimpi yang indah itu. Asyik sungguh. Enam atau tujuh jam tidur terasa sangat sekejap. Bagaikan hanya beberapa minit melelapkan mata, sudah tiba masa untuk membuka mata. Ah, geramnya… aku mahu mimpi itu kembali lagi.
Kini aku telah bangkit daripada tidur selama sejam. Kenangan bersama mimpi indah sudah mula padam. Sudah semakin hilang dan hampir dilupakan. Baru sejam. Tapi, jika dibandingkan dengan perasaan sewaktu mimpi, memang berbeza amat. Sekarang mimpi itu bagaikan kenangan. Yang mahu dihadapi adalah kenyataan. Kenyataan bahawa kita adalah hamba yang pastinya mempunyai kesulitan dan kesempitan hidup. Pastinya memaksa kita untuk tidak berjaya memiliki semua yang kita ingini.
Dalam mimpi, sangat indah. Terbang ke sana, terbang ke sini. Sekejap di sana, sekejap di sini. Namun, itulah yang mengasyikkan. Apatah lagi kita bermimpi sesuatu yang memang kita ingini. Sesuatu yang tidak mungkin kita miliki tapi di dalam mimpi, ia kita kuasai. Mahu sahaja kita bawanya keluar dari mimpi dan hidup bersama di alam realiti. Tapi, tidak boleh. Ia hanya di dalam mimpi. Hanya menghias dan menghibur di kala mata melihat kehitaman tidur.

Jangan bimbang jika hari ini mimpi itu sekadar mimpi. Usahakan agar diri diberi nikmat oleh Allah dengan Firdausi. Jika terlalu menginginkan apa yang ada di dalam mimpi, minta sahaja di sana nanti. Jangankan mimpi, apa sahaja yang belum kita termimpikan pun telah tersedia di sana. Janji Allah itu pasti. Teruskan usaha di dunia ini agar di sana nanti kita dihadiahi dengan nikmat yang tidak pernah diimpi.

No comments:

Post a Comment