Siapa aku untuk megah dan tidak mahu mengalah. Aku hanya hamba yang dikuasa. Nanti dipanggil mengadap Allah pada suatu masa. Dia pernah melukakan aku. Dia pernah menyakiti aku. Sehingga kini janji-janji dia sering bermain di minda aku. Tidaklah aku untuk sengaja mengingatinya. Ia datang membadai di dalam fikiran ini. Sungguh seksa menghadapi hakikat yang aku telah ditinggalkan kerana hati nya telah menerima orang lain. Janji yang dipatri selama banyak tahun hanya ditanam ditepi bibir. Manis. Namun tidak ke mana. Manis. Namun hanya pada kulit nya. Terasnya pahit tak terkata.
Maafkan aku kerana sukar melupakan. Aku bukanlah manusia ajaib yang punyai kelebihan untuk melupakan janji-janji kita dahulu. Aku lemah. Selalu goyah. Kenangan bersama dia memang tidak senang dan mudah untuk dihapuskan. “Insan Bernama Kekasih” yang sering aku siulkan untuknya, kini hanya bergema dalam mindaku sahaja, malah menjadi duri yang mampu dan selalu menyengat. “Hadirlah Cinta, Cinta Pertama”… lirik lagu yang juga selalu aku nyanyikan untuk dia. Kata dia, aku adalah cinta pertamanya. Malah dia yakin bahawa dia takkan lupakan aku sebagai cinta pertamanya ini.
Namun sekarang tidak lagi. Sekarang ini dia sedang menabur janji dengan lelaki yang lain pula. Aku tahu. Aku pasti. Dan memang tahu dan aku pasti. Biarkan dia.
Paling penting, aku harus sedar bahawa aku adalah aku. Aku dicipta untuk mencinta yang memberi cinta dan rasa. Mengapa aku melihat ke bawah dan memilih yang bawah? Adakah akhirnnya aku akan berakhir dengan ‘bawah’ dan kehinaan? Jangan. Jangan begitu wahai aku. Pujuk dirimu untuk melihat ke atas. Lihatlah angkasa yang luas terbentang. Lihatlah laut dan nyawa yang tersergam di sana. Tahukah engkau bahawa yang menciptakan mereka adalah yang menciptakan engkau? Tahukah engkau bahawa engkau itu tiada bezanya jika dibandingkan dengan yang lainnya? Tahukah engkau bahawa dia yang melukakanmu juga tiada beza dengan yang lainnya? Ingat, dia juga manusia. Manusia yang pastinya seorang yang lupa dan berbolak-balik hatinya.
Ya, kini aku memilih untuk menjadi aku yang baharu. Menyinarkan yang atas dan menyirnakan yang bawah. Meninggalkan cinta yang kecil dan memilih untuk cinta yang maha besar. Aku mahu dan mahu menjadi hamba. Lalu siapa aku untuk menghukum manusia lain dengan tidak memaafkan mereka. Aku hanya hamba. Tidak perlu mengambil tugas Dia Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Aku tidak tahu mengapa dia berbuat begitu. Jika dia benar, Allah lebih mengetahuinya dan berhak mengganjarinya. Jika dia salah, Allah lebih mengetahuinya dan lebih berhak menggarinya. Wahai aku, maafkanlah dia… Ya. Aku maafkan dia J
No comments:
Post a Comment