Sumbang suara membentuk suasana.
Bercakap. Menggerakkan bibir dan mulut dengan mengeluarkan suara. Membunyikan kalimah-kalimah sehingga difahami maksud gabungan kalimah yang dicakapkan itu. Banyak benar manfaat yang diperoleh daripada bercakap. Tapi ingat, banyak juga maksiat yang terhasil daripada bercakap.
Ramai orang menyangka, orang yang petah bercakap itu hebat. Mungkin juga orang yang petah bercakap itu terdorong untuk bercakap dengan lantang dek faham bahawa mulut yang lancar mengungkap itu hebat. Lalu, setiap tempat dan saat menjadi pentas untuknya bercakap dengan lantang.
Memang, bercakap itu penting. Untuk komunikasi dan saling memahami. Malah perlu diingat, senyap juga bukan tidak penting. Dalam senyap juga tidak bermaksud tiada ruang untuk komunikasi dan memahami. Lihat sahaja pasangan yang ralik bercinta. Tidak perlu banyak bicara untuk menghulurkan cinta. Malah komunikasi boleh terjalin dengan hanya pandangan mata. Mata yang berpandangan merenung tajam dalam keindahan cinta. Seribu cerita dan rahsia tersembur dalam panahan mata keduanya. Nah, benarkah hanya suara yang kuat dan petah dapat membentuk komunikasi dan memahami?
Malah perlu diingat, mulut yang petah memungkinkan kita untuk selalu melampaui batasan aturan bercakap yang ditetapkan Allah. Jadi beringatlah selalu agar dapat mengawal keliaran bercakap berlandaskan aliran yang benar.
Bahana kelancaran lisan yang berpaksikan nafsu.
Memang seronok untuk bercakap apatah lagi apabila perkataan kita disorak oleh manusia. Lalu terdoronglah seseorang itu bercakap dengan menambahkan unsur hiburan dalam patahnya. Unsur hiburan itu termasuklah menambahkan isu-isu hangat, perkara-perkara lucu dan sebagainya. Menyedihkan apabila sudah terdesak untuk meraih sorak manusia, kata kejian dan memburuk-burukkan terus dijadikan bahan. Kini, bukan sahaja sorakan manusia alpa sahaja yang diperoleh, malah sorakan syaitan turut menjadi penyeri. Terus didorong oleh syaitan untuk 'membelasah' orang lain yang tidak bersalah melalui lidahnya. Maka semakin rancak bicaranya merendah-rendahkan orang lain.
Hakikat mengata, mengumpat dan merendah-rendahkan orang lain.
Menurut ahli psikologi, orang yang suka merendah-rendahkan orang lain sebenarnya merupakan seorang yang tidak yakin dengan diri sendiri malah merasakan diri mereka lemah berbanding orang yang dijadikan bahan itu. Lalu, untuk mengelakkan dirinya terus lemah dan tidak dilihat orang, maka umpatan dijadikan medan untuknya meninggikan diri dan merendahkan orang lain.
Hina. Itulah hina yang tersedak dan terdesak. Bukan hina yang patuh dan menjadi contoh. Semestinya kita sebagai manusia, adalah hina. Apakah nilaian hamba melainkan hina? Ya, hamba yang mengambil jalan mudah untuk memuliakan diri sendiri iaitu dengan merendahkan orang lain merupakan hamba yang tersedak dan terdesak. Berbeza dengan hamba yang patuh dan menjadi contoh, mereka hidup dengan hidup bersyariat. Tuturnya indah dan tidak bernoda. Meragut kemuliaan orang lain dengan merendah-rendahkan orang lain.
Pengumpat dipandang tinggi hanya oleh pengumpat sahaja.
Tidak perlu megah wahai pengumpat. Hidupmu tidak mulia dengan mengumpat. Ingatlah, pendengar yang baik tidak akan mendengar umpatan dan cemuhan melainkan menilai orang yang sedang mencemuh dan mengumpat sebagai seorang manusia lemah yang angkuh. Hanya golongan rendah iman dan berfikiran negatif sahaja akan menerima kataan pengumpat dan pencemuh. Jangan bimbang wahai pengumpat, orang yang mendengar dengan khusyuk itu pastinya bakal mengumpatmu dan mencemuhmu suatu hari nanti!
Banyak hadis yang memberi ancaman kepada orang yang mengumpat. Ingatlah, dosa mengumpat tidak akan terubat dengan taubat kepada Allah sahaja, malah pengampunan daripada orang yang diumpat juga!
No comments:
Post a Comment