Sunday, 21 October 2012

Imanku dan Imanmu

Iman. Indah perkataannya. Bahkan setiap manusia yang benar-benar menyedari bahawa Allah adalah tuhannya sangat berhasrat untuk memilikinya. Ia menjadi penyeri pada batang tubuh insan yang bernama muslim. Menjadi ‘tiket’ utama untuk setiap manusia melangkah ke syurga. Semakin teguh iman yang dimiliki, semakin tinggi darjatnya di syurga. Semakin berat ujian yang dilalui dan tetap sabar dengan ujian yang dihadapi, maka semakin tinggi darjat imannya. Semakin angkuh dan riak seseorang itu, semakin nipis imannya dan akhirnya menerima seksaan yang sangat menyeksakan. Malah, itu bukanlah sifir yang memaksa Allah untuk membalas setiap amalan hamba-Nya. Pastinya, Allah tidak akan lemah dengan terpaksa untuk melakukan sesuatu. Namun, itulah kebenaran yang pasti kerana Allah itu Maha Adil. Oleh itu, setiap manusia seharusnya berusaha untuk meningkatkan iman.
Sentiasa Refleksi Iman
          Jika membuat sesuatu kebaikan, renungkanlah bahawa siapa yang mendorong kita untuk membuat kebaikan tersebut. Fikirkanlah siapa yang memberikan keizinan yang mutlak untuk kita melaksanakan ketaatan? Sesungguhnya, makna zikir yang sentiasa kita ungkapkan iaitu, “Tiada kuasa dan daya melainkan dengan keizinan Allah” telah menjawab persoalan ini. Lalu, telah tahu kita bahawa segala kebaikan yang kita lakukan adalah datangnya daripada Allah yang mengizinkan malah Dialah yang menghendakinya. Malah, ketika saat kita melakukan kebaikan, lalu diiringi sifat riak atau perasaan ingin menunjuk-nunjuk, maka segeralah bertaubat. Bukanlah diri yang berkuasa menentukan segala, jika tiada kuasa daripadanya.
          Jika membuat kejahatan, lalu tidak rasa bersalah dengannya. Segeralah bertanya kepada iman. Apakah aku ini akan berakhir sebagai seorang pendosa yang mempunyai tanggungan dosa yang banyak? Tanyakan lagi kepada iman, bukankah matinya seseorang itu tidak diketahui di mana dan bila? Adakah tempat dan saat ini? Jika iman mampu menjawab, segeralah mendengar kata iman. Berhenti melakukan dosa dan pulanglah ke pangkuan tuhan. Jika iman sudah terjahit mulutnya, pintalah hati yang baharu. Begitulah saranan imam al-Ghazali apabila hati kita sudah terlalu gering dan kering. Semoga dengan hati yang baharu, iman mampu subur dan membentuk jiwa kita menjadi manusia yang akur.

Kuatkan Iman!
          Hamba yang lebih kuat, pastinya lebih disayangi Allah. Itulah hakikatnya. Ingatkah kita bahawa syurga itu dikelilingi perkara yang bertentangan dengan kehendak jiwa, manakala neraka pula dikelilingi perkara yang diingini oleh nafsu jahat? Terdapat hikmah yang tinggi disebalik kejadian itu. Ya, orang yang kuat sahaja yang dapat meneruskan perjalanan dalam melawan arus deras iaitu bujukan syaitan dan kemahuan nafsu liar. Menuju syurga memerlukan keperitan, kepayahan dan kesulitan menempuh ranjau ciptaan syaitan. Perkara buruk, dicantikkan oleh syaitan. Maka mata manusia melihat dunia ini sangat cantik sehingga takut mati dan panjang angan-angannya. Kekuatan yang sebenar akan mampu menempuh kecantikan duniawi dan terus berjalan melangkah menuju kecantikan ukhrawi.
Manakala orang yang lemah akan terus lena dibuai syaitan. Mimpi indah yang dilayarinya bakal mencekiknya suatu hari nanti. Begitulah kata Saidina Ali yang berpesan agar sentiasa berjaga semasa hidup ini dan jangan sampai terlena. Hikmah sungguh tutur saidina Ali ini, menekankan kita agar tidak terus hanyut dengan segala kebendaan yang kita miliki. Jika hanyut juga dalam kemewahan dan kecantikan duniawi lakaran syaitan, maka pastinya akan bersama syaitan untuk ‘mandi’ di muaranya. Namun, ingatlah muara ini muara merbahaya. Detik akhirnya tidak akan ada. Muara keseksaan api neraka yang membakar dan menyeksakan kulit-kulit serta pelbagai seksaan yang sangat mengerikan. Pulanglah sebelum terlambat. Kembali menempuh jalan yang diredhai Allah.

No comments:

Post a Comment