Wednesday, 24 July 2013

Engkau tahu, betulkah engkau tahu?


Bila kita bercakap, pastinya kita sudah berfikir terlebih dahulu sebelum mengungkapkan. Apa yang kita luahkan, adalah apa yang kita rasakan paling betul. Apa yang kita katakan, adalah yang terbaik yang kita rasakan. Seterusnya, kita juga yakin dengan perkara yang kita sampaikan. Namun, benarkan tepat dan betul apa yang kita katakan itu?

Bercakaplah atas dasar utama, Quran dan al-Hadis.

Ramai ilmuan yang suka memberikan ceramah dan menyebarkan ilmu. Ini bagus. Manakala ramai pula ilmuan yang memberikan ceramah dan tazkirah dengan memasukkan fahaman yang tidak selari dengan Quran dan al-Hadis. Mereka banyak menyuluh perkara yang tidak penting dan banyak sekali membawakan pendapat yang lemah. Ini tidak bagus.
Bukan sahaja kepada penceramah, malah ketika berbincang secara tidak formal, kita biasanya akan terpengaruh dengan “cakap orang tua-tua” lalu digunakan “cakap orang tua-tua” sebagai dalil dan inspirasi dalam menuturkan kata walau hal-hal agama. Memang macam-macam ragam manusia. Apabila mereka yakini sesuatu, pastinya mereka akan berpegang pada yang itu. Malah, mereka juga tidak terlepas untuk memusuhi apa yang tidak diketahui. Begitulah kata ahli psikologi bahawa manusia akan memusuhi perkara yang tidak diketahui.
Terlalu sangat kita menghumban pendapat yang tidak seteru dengan pendapat kita dengan sekejamnya. Kejam sungguh kita apabila sesuatu perkara dimuntahkan sebelum dirasakan terlebih dahulu. Apakah kita tahu bahawa buah naga itu sedap atau tidak jika dipandang jijik sebelum dirasai terlebih dahulu. Tanpa mencubanya, kita telah mencemuh dengan mengatakan “nampak macam bukan buah je, aku tidak suka buah yang tak sedap ini.” Pasti sekali, kita yang akan menanggung kerugian jika rasa buah naga itu sebenarnya sangat bersesuaian dengan selera kita. Begitu juga dengan berbahas dan berbincang, jangan pula kita melihat perkara yang tidak kita ketahui itu sebagai perkara yang salah. Kita selidiki dengan adil dan buatlah pertimbangan. Kita cuba secebis, barulah sahkan bahawa buah naga itu menyelerakan ataupun tidak. Yang penting kita rasakan dengan adil. Bukan kerana terpengaruh dengan kata-kata orang lain.

Pertimbangan yang adil pastinya dengan al-Quran dan al-Hadis

Ramai yang tahu bahawa dasar utama agama Islam adalah al-Quran dan al-Hadis(nas). Namun, ramai yang bertempik melaungkan kemarahan apabila setiap hukum yang wujud perlu disertakan dengan dalil atau nas. Malah, mereka juga ibarat cacing yang kepanasan apabila disoalkan, apakah ada hadis apa yang kamu katakan ini? Seumpamanya mereka sangat tidak setuju apabila dipersoalkan dengan asas-asas agama. Bagi saya, secara peribadinya saya katakan tidak adil. Manusia berhak untuk mengetahui perkara yang tidak diketahui apatah lagi perkara tersebut berkaitan dengan asal-usul agamanya.
Memang ulama’ telah meringkaskan dalil-dalil dan menetapkan hukum-hukum dengan ilmu yang mereka ada dan ini merupakan suatu kemudahan kepada kita untuk beramal. Namun, jika kerana ingin tahu dengan lebih lanjut, tidak salah jika bertanya apakah nas bagi hukum yang telah disebutkan. Bukan tujuannya untuk merendah-rendahkan ulama’ apatah lagi menghinakan ulama’, namun pencerahan tentang agama perlu dibuat dengan suluhan yang terang. Agar agama yang kita anuti ini jelas akan kebenarannya dan tidak pula beragama secara membuta tuli. Bukan sahaja diri yang mengamalkan akan terasa keindahannya, malah kita akan lebih yakin dan tertarik untuk menyebarkan Islam kepada semua.

Nombor satu dahulu baru nombor dua

Begitulah yang kita pelajari sejak dari kecil sehinggalah besar. Nombor satu dahulu, barulah nombor dua. Bukan susah, malah terlalu mudah. Aturannya, nombor satu barulah nombor dua. Sesungguhnya, saya terlalu yakin bahawa ramai antara kita yang tahu bahawa ketika mengadili sesuatu perkara, sama ada dalam hukum atau sebagainya, al-Quran dan al-Hadis perlulah menjadi teras terlebih dahulu sebelum mengguna pakai jumhur ulama dan kias. Ingat aturan, al-Quran dan Hadis, barulah yang lain!

Mungkin ramai yang tidak suka dengan penulisan ini, namun saya rasakan amat penting bagi saya untuk menukilkan rasa hati yang kadangnya terguris dek kejahatan dan kekotoran yang kian bersemadi dalam agama yang kita sayangi ini. Semoga kita semua ditunjukkan jalan yang benar, dapat menilai buah naga dengan sebenarnya!

No comments:

Post a Comment