Tuesday, 20 December 2011

Jiranku, Dia Berubah

          Mencintai jiran adalah salah satu tanggungjawab besar bagi seorang mukmin. Seorang yang mengakui bahawa dia mengimani Hari Akhirat juga boleh dibuktikan dengan mencintai jirannya. Sekarang, aku berdepan dengan jiranku. Juga saudaraku dan kekasihku.
          Dulunya, dia adalah lambang keburukan. Terkilas dia di mata, sudah tahu ke mana hala tujunya. Kalau tidak mencuri, maka meneguk araklah kerjanya. Sehinggakan orang kampung sudah bengang dengan sikapnya dan mula memerhatikannya sebagai seorang lelaki yang merbahaya. Selalu aku lihat dia balik dalam  keadaan mabuk dan khayal. Terkadang dia balik dalam keadaan berbahasa Inggeris, berbahasa India, berbahasa Cina malah kadang-kadang berbahasa Arab. Akan tetapi sayang, bahasa yang diungkapkan itu tidak dapat difahami walaupun oleh dirinya sendiri.
Tidak cukup dengan itu, dia juga memberikan layanan yang sangat teruk kepada ibubapanya. Aku sentiasa menggelengkan kepala apabila mendengar nada suaranya yang sangat tinggi di hadapan ibunya. Dengan keburukannya, pasti sesiapa sahaja akan berkata bahawa tiada jalan baik bagi manusia seperti ini. Pasti dia akan kabur dengan dunia sehingga terpisah jasad dengan rohnya. Namun, kita tersilap. Aku tersilap. Allah itu Maha Penguasa. Pemegang hati segala makhluk. Kini, orang itu telah berubah.`
Kini, dia membaluti kepalanya dengan mahkota cantik untuk mengerjakan sembahyang. Lilitan dari kain berwarna putih bercampur hitam yang aku saksikan terlilit kemas di kepalanya menyentap jiwa ku. Dulunya, botol di tangan. Kininya, tasbih dipegang. Itu semua kuasa Allah. Kuasa Allah yang mahu menyedarkan aku dan orang sekeliling aku bahawa manusia mempunyai potensi untuk berubah. Cuma kita sebagai orang awam mestilah bersikap terbuka dan berusaha membantu mereka.
 Jadi, sepatutnya kita perlulah lebih terbuka apabila melihat manusia yang berakhlak jahat. Jangan menutup terus pintu kemaafan bagi dirinya untuk masuk. Ingatlah bahawa kita dituntut untuk memaafkan. Apa salahnya kita memaafkan? Wujudkah kebaikan dengan tidak memaafkan? Malah, saya yakin bahawa ada kesan buruk pada diri kita jika tidak memaafkan. Rasa benci dan marah yang berada di dalam diri akan mempengaruhi banyak perkara lain yang ada dalam kehidupan kita. Oleh itu, tidak perlu kita rasa tertekan jika melihat orang yang berakhlak buruk. Buka hati dan lapangkan dada. Fikirkan jalan penyelesaian. Jangan hanya melihat dan berkata, “Sudah tak ada jalan bagi manusia macam tu…”. Akan tetapi sepatutnya kita berkata, “Allah telah memberikan kita pilihan, lalu ke atas kita dibebankan tugasan itu. Dan, orang dihadapan aku ini sudah tersalah memilih jalannya. Ya Allah, kembalikan dia pada jalan yang engkau redhai.”
Agak-agaknya…. Jika kita adalah orang yang tersalah memilih jalan, manakah tafsiran ke atas kita yang kita mahukan? Oleh itu, ubahlah persepsi kita apabila melihat orang yang berbuat jahat. Positiflah. Yakinlah, fikiran yang positif menjamin hidup yang lebih bahagia.

Monday, 28 November 2011

Sabar dan Syukur

          Gandingan yang sangat mantap. Itulah dia Sabar dan Syukur. Sabar membawa dimensi hati yang tabah manakala syukur pula membawa dimensi hati yang berterima kasih dan mengenang jasa. Jadi gabungan hati yang tabah dan berterima kasih akan membentuk peribadi redha dan pasrah atas nasib dirinya.
          Bila kita ditimpa musibah, apa yang selalu kita dengar? Pastinya nasihat agar kita sabar kan? Begini dialognya:
“Sabar ya, Allah hendak menguji kamu ni.”
“Sabarlah, sekejap je benda ini.”, ataupun seumpama dengannya.
          Akan tetapi apa yang kita jawab atau kira rasakan apabila kita dinasihatkan begitu? Mungkin begini monolognya:
 “Sabar, sabar, sabar…..dah tak da ayat lain ke?”
“Sabar je..?”
“Lagi-lagi sabar, sampai bila?”
Jika begitulah jawapan kita, terbuktilah bahawa kita manusia biasa. Atau dengan ayat yang lebih tepat, kita masih manusia biasa. Manusia biasa yang hanya melihat dengan mata biasa mendengar dengan telinga yang biasa, menyentuh dengan tangan yang biasa dan segalanya yang biasa sehinggalah akal yang biasa. Maka akal yang biasa inilah yang membuahkan tindakan yang biasa.
Mesti sudah ramai yang keliru dengan ‘biasa’ kan?
          Maksud saya, melihat dengan mata biasa adalah melihat dengan mata semata-mata tanpa membuat pertimbangan yang selayaknya. Melihat sesuatu ciptaan Allah tetapi mengagungkan sebaliknya. Pastinya berbeza pula jika melihat dengan bukan mata biasa semata-mata. Kita akan melihat ciptaan Allah dengan rasa keindahan dan ketaksuban. Kita akan mengenang pemilik apa yang kita lihat. Bahkan mungkin kita akan kenang pemilik yang memberi kita lihat.
Manusia Yang Luar Biasa
          Maka dapat kita lihat betapa mulianya jiwa manusia yang mampu menjadi manusia yang luar biasa. Manusia yang mampu sabar tatkala orang lain mula hilang sabar, manusia yang syukur tatkala orang lain mula menyungkur. Ingatkah kita tentang hadis Rasulullah yang bermaksud “Iman itu ada dua separuh, separuhnya adalah sabar dan separuhnya adalah syukur.” Riwayat Baihaqi. 
          Lalu gabungan yang membentuk iman ini akan menjadikan seorang itu kuat. Seorang yang bergetar hatinya pabila disebutkan nama Allah, dan bertambah imannya tatlakala dibacakan ayat-Nya. Dan orang inilah yang tidak akan leka dengan anak pinak serta harta-harta untuk mengingati Allah. Ini adalah kerana mereka sabar dan syukur. Sabar dalam mentaati Allah, sabar dengan ujian dan bala dari Allah dan sebagainya. Lantas dihadirkan rasa syukur atas kurniaan yang tidak ternilai. Dan kurniaan yang tidak ternilai itu dibandingkan dengan bala yang mendatang. Nescaya terlalu kecil bala dan suruhan Allah kepada kita. Apatah lagi, ujian dan bala itu adalah untuk mengangkat darjat kita lebih tinggi.

Monday, 21 November 2011

Nasihat dari abah


Abah: Din, kita jgn tidur semasa hidup ni, tidur bila dah masuk kubur nanti.
Saya: Jgn tidur masa hidup ni? Pelik je bunyinye..
Abah: Hehe.. Mestila kena tidur... Abah pun ada terbaca yang badan kita perlukan tidur antara 6-8 jam sehari untuk badan sihat.
Saya: Kalau x cukup atau terlebih?
Abah: Menurut apa abah baca, badan kita akan lesu.
Saya: Tapi kenapa tadi abah kata kita x boleh tidur?
Abah: Maksud abah, kita dalam dunia ni x boleh leka. Kena sentiasa peka dgn kehidupan kita. Peka dgn sgala tindakan kita.
Saya: Kalau kita tidur jgk?
Abah: Kalau kita tidur jgk, kita akan jaga dlm kubur nanti.
Saya: Mcm mana plk tu?
Abah: Hehe.. lmbt jgk anak abah nk pikap ye.. mcm ni.. bila dah x ambil kisah dan x peka dgn tindakan kita di dunia, kita akan di seksa di dlm kubur nanti. Kan kubur tu neraka kecil bagi orang yang leka dgn suruhan Allah di muka bumi?
Saya: Hehehe.. iye abah.. terima kasih.. InsyaAllah.. Din akan dgr nasihat abah..
(sbnrnye dialog asal bukan mcm ni pn..sje nk sedapkan..termasuk sedikit penambahan:) )
apa2 pn... jom jgn 'tidur' di dunia ini :)

Saturday, 19 November 2011

Aku Tahu Kekasihku Mempunyai Kekasih Yang Lain

          Pastinya, manusia akan merasa cemburu jika kekasihnya dicintai oleh orang lain. Begitu juga aku, aku sangat mencintai apa yang aku cintai sekarang. Namun, aku bimbang. Dalam aku mencinta, ada lagi yang turut mencinta apa yang aku cinta.
          Tapi aku sedar bahawa apa yang aku cinta ini memang patut dicintai oleh orang lain juga. Kerana yang aku cinta itu adalah Dia. Dia yang mencipta, mentadbir dan mengurus alam ini. Dia yang Maha Mengetahui apa yang di depan dan apa yang di belakang, juga apa yang ada di luar dan apa yang ada di dalam.
Aku takut Jika Kekasihku Lebih Menyayangi Yang Lain
        Sugguh cemburu aku apabila aku melihat orang yang mahu dirinya disayangi oleh Kekasihku. `Lebih cemburu aku apabila orang tersebut melakukan amalan yang melebihi amalanku. Aku memang geram pada amalannya. Namun, aku sayang dan kasih pada dirinya kerana dia juga mempunyai impian yang sama denganku. Aku berharap aku juga dapat istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Kekasih agung kami seperti dirinya.
          Aku yakin, aku mampu untuk menyaingi orang lain yang mencintai Kekasihku. Aku mahu jadi yang terbaik dalam cinta antara orang lain dan aku dengan Kekasih kami. Aku mahu dalami cinta aku ini dan meyakinkan Kekasihku bahawa akulah yang paling layak untuk menjadi salah seorang daripada hamba yang mendapat gelaran ‘kekasih’mu.
          Nabi Ibrahim, telah mendapat gelaran Khalilullah adalah bermaksud kekasih Allah. Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad juga mendapat gelaran kekasih Allah akan tetapi lebih tingggi gelarannya iaitu Habibullah. Dan aku, aku tidak mahu terlepas daripada mendapatkan gelaran seumpama itu keana aku tahu bahawa dengan gelaran seperti itu sahaja aku akan berjaya menjadi hamba yang diredhai Penciptanya. Pastinya gelaran Khalilullah sangat layak bagi Nabi Ibrahim dan gelaran Habibullah sangat layak dan tiada tentangan kepada Nabi Muhammad. Paling kurang biarlah aku dan teman-temanku mendapat gelaran kekasih Allah dengan versi Melayu iaitu Kekasih Allah.
Persiapan Untuk Menjadi Kekasih Kepada Kekasih Semua Hamba Yang Sejati
          Aku dan juga manusia lain adalah manusia yang sememangnya manusia. Semua kita atau kami telah dihubungkan dengan keduniaan sejak kita mula dilahirkan lagi. Buka sahaja mata, kita telah melihat alam. Lapar sahaja, kita suapkan makanan. ‘Buka’ sahaja telinga, kita mendengar muzik dan bingitan dunia. Begitulah seharian kita.
          Tanpa kita sedar, kita telah leka dengan keperluan jasad kita. Kita melakukan apa yang jasad kita perlukan sehinggakan kita lupa perjanjian asal kita. Perjanjian yang ‘isi’ dalam jasad kita termeterai lama dahulu. Janji untuk menjadi hamba yang setia dengan tuhannya. Namun, pabila diuji dan dicuba dengan kenikmatan dunia yang tdiak tehingga atau pun terhingga, kita terus ralik dan kabur melihat hakikat dunia.
          Lantas, kita yang sudah sedar ini haruslah terus sedar. Minta pertolongan daripada Pemegang hati setiap makhluk untuk menetapkan kita di atas jalan-Nya. Minta pertolongan-Nya untuk menanamkan rasa takut dalam diri kita pabila disebutkan nama-Nya. Munajat kepada-Nya agar kita disemaikan tingkatan iman apabila dibacakan ayat-Nya kepada kita. Sungguh, tiada daya upaya kita untuk menjadi sesiapa yang kita inginkan. Mahu yang baik, ataupun jahat. Akan tetapi, mahukah kita menjadi jahat dan menuju neraka? Atau baik dan menuju syurga?
          Maka yang paling baik di antara para hambanya adalah yang paling baik nilai taqwanya. Dan sebaik-baik bekalan adalah bekalan taqwa. Maka aku yakin dan aku berdoa agar kami, kita dan aku khususnya akan teguh, tetap dan tegar dalam jalan menuju dan menuntut taqwa dan kecintaan Kekasih Agung. Aku berdoa agar aku dikurniakan gelaran kekasih-Mu, dan beharap agar aku tidak menjadi kekasih-Nya yang ke-berbilang-bilang. Aku akan cuba menjadi hamba-Mu yang soleh. Amin.
Ya Allah, bantulah kami dalam menjadi hamba yang sebenar-benarnya hamba yang menyedari hakikat diri seorang hamba.

Statusku Kembali ‘Single’, Namun Terbina ‘In Relationship With’ dengan Mu

Aku telah mengenali apa itu cinta melalui seorang gadis yang haram aku cintai. Lalu, dengan cintaku kepadanya, aku dikecewakan. Agak padan muka aku. Luka parah hati aku kerana cinta haram tersebut. Aku sedar, aku banyak berdosa kerana cinta itu. Aku menjadi manusia hipokrit kerana cinta itu. Itu semua kerana cinta itu adalah cinta yang aku cipta, lalu cinta itu menjadi fana.
          Sekarang, aku bangun dari lamunan lama aku. Tergerak hati aku untuk mengintai dijendela hari. Tergamam aku apabila aku menyedari bahawa aku sebenarnya sudah jauh tersasar dari jalanan yang betul. Aku bersyukur wahai tuhan yang menciptakan seluruh alam ini. Terima kasih kerana menyedarkan aku.
          Sekarang, cinta yang aku ada bukan cinta nista lagi. Cinta yang aku genggam sekarang adalah cinta cinta. Aku mencinta dalam dicinta. Sungguh rugi aku kerana baru sekarang aku berpeluang merasakan nikmatnya cinta ini. Nikmat yang tiada lidah di dunia ini mampu bicarakan. Sungguh, nikmat. Terima kasih di atas satu lagi nikmat terbesar yang Engkau sumbangkan kepadaku wahai tuhan.
          Dulu, semasa mencintai si gadis itu, aku buta melihat warna kebenaran. Bukan kerana buta warna, tetapi kerana buta hati dek dosa yang menyelubungi hati. Selubungi hati dengan titik hitam yang mengaburkan mata hati. Lalu, rosaklah hati dan rosaklah diri aku seluruhnya.
          Namun, aku bersyukur. Suatu hari engkau meninggalkan aku. Kata engkau, aku tiada lagi di hatimu dan engkau sudah ada pengganti. Wah, sangat mudah hatimu menyalin cinta. Aku kecewa. Aku bingung. Fikiranku terganggu dan aku mula faham kenapa logiknya orang yang ditinggalkan kekasih sanggup menggadaikan nyawa(Nauzubillah). Sudah hilang madunya, engkau buangkan sepahnya. Tapi seingat aku, tiada madu dari aku yang engkau sedut. Bahkan racun yang engkau sedut. Bukan engkau seorang, malah aku juga. Kita bersama menyedut racun dan kita bersama meninggalkan sepahnya. Akan tetapi sekarang, cinta haram kita sudah tidak wujud lagi. Namun aku bimbang kerana engau sudah mempunyai lubuk baru untuk menyedut racun. Aku bimbang akan engkau dan aku berdoa agar engkau selamat di akhirat.
          Kini aku solo. Namun, cinta yang aku miliki sekarang melebihi cinta seorang lelaki beristeri empat kepada para isterinya(InsyaAllah). Aku gembira dengan solo ini dan cinta ini. Semoga cinta yang aku timba bersama gadis itu menjadi alas dan hamparan untuk aku lebih mengenali cinta kepada yang sepatutnya. Aku berdoa kepada tuhan yang memegang ubun-ubun segala makhluk, jangan engkau palingkan hati ini dari terus mencintaimu dan biarkan aku kekal berstatus ‘in relationship with’ denganMu.

Monday, 31 October 2011

Yang Dikejar Tak Tergenggam, Yang Dikendong Bertaburan

          Setiap orang mempunyai matlamat hidup masing-masing. Ada yang matlamat hidupnya mulia dan ada yang matlamat hidupnya bertaraf sahaya. Mencari kesenangan hidup bagi melayari kehidupan adalah satu tuntutan bagi setiap manusia. Namun, jangan sesekali kita beranggapan bahawa kesenangan hidup itu hanya di dunia yang nyata ini. Perlu kita luaskan konsep kehidupan manusia itu sendiri yang mempunyai 5 padang utama.
1.     Alam Roh
2.     Alam rahim
3.     Alam dunia
4.     Alam kubur
5.     Alam akhirat
Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita yang berada di muka bumi ini telah melalui melangkau dua alam iaitu alam roh dan alam rahim. Sekarang kita berada di alam dunia dan di sinilah kita diuji dengan pelbagai ujian. Ada yang mendapat ujian yang sedikit dan ada yang mendapat ujian yang banyak. Cuma, ujian itu perlu kita hadapi dengan tenang dan berstrategi. Bagaimana? Kembalilah ke jalan Allah, pasti penyelesaiannya ada.
Guruh Berdentum, Air Tempayan Jangan Dicurahkan
Sungguh malang orang yang beranggapan bahawa segala perancangan yang dibuat akan menjadi. Bukahlah salah untuk yakin dengan apa yang diusahakan bahkan jika tepat dengan caranya, ia berubah menjadi konsep tawakal iaitu bergantung dan berharap kepada Allah setelah berusaha dengan sebaik mungkin.
Akan tetapi malangnya orang yang sebegitu adalah apabila dia meyakini bahawa segala kejayaan yang diperoleh adalah hasil daripada usahanya semata-mata. Maka menjadilah orang ini seperti Qarun yang ingkar dengan jalan kebenaran. Malah tersemat kisah yang masyhur ini di dalam al-Quran. Maksud firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Qasas ayat ke-78 : “Semua harta ini adalah kerana ilmu yang ada padaku.”
Kita bayangkan secara mudah.
Guruh                  : Kemewahan dunia
Air hujan             : Ganjaran Akhirat
Air tempayan      : Iman
Apabila guruh berdentum, kita beranggapan bahawa hari akan hujan. Dan sementara itu, kita telah mempunyai simpanan kita sendiri iaitu air di dalam tempayan. Persoalannya, sudah bolehkah kita membuang air di dalam tempayan sebelum tibanya hujan? Jawabya tidak.
Begitu juga dengan iman. Sentiasa perbaharui iman kita, jangan sesekali kita membuangnya sehinggalah kita memperoleh syurga yang kekal abadi. Namun, perlu kita sedar bahawa iman kita tidak perlu dibuang walaupun kita telah mendapat syurga nanti kerana kita perlukan iman untuk terus hidup sebagai mana jasad perlukan roh untuk hidup. Bahkan kemanisan iman yang diperoleh merupakan nikmat terbesar dalam hidup kita sebagai makhluk ini. Tiada kenikmatan yang lebih nikmat melainkan rasa kehambaan dan iman di dalam diri seorang hamba. Fitrah seorang hamba ialah merasai lumrah dirinya adalah seorang hamba. Maka selamatlah ia dari melapetaka dan bencana.
Rantailah iman kita yang tersemat di dalam dada kita dengan sekuat mungkin. Jangan biar ia londeh semasa kita berdiri, berjalan dan berlari dan berusaha kita menjadi orang yang soleh. Sungguh untung nasib manusia yang soleh. Diceritakan dalam sebuah hadis qudis, maksudnya “Daripada Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengari oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Wednesday, 26 October 2011

Bancuhan Cinta

          Sungguh wangi aroma cinta yang kita miliki jika kita cinta tersebut adalah cinta yang sejati. Manakala sungguh busuk, hancing, hanyir dan tengik bau cinta yang tidak suci dan dinodai oleh syaitan dan iblis. Mana satu yang kita suka, yang wangi atau yang busuk? Pastinya busuk adalah pilihan orang yang berhati busuk. Jika kita adalah begitu, maka pulanglah segera ke jalan yang benar sebelum digelar makhluk terkutuk.
Bercinta Sebelum Kahwin
          Sungguh ramai yang tidak setuju dengan statement yang mengatakan bahawa cinta sebelum berkahwin adalah haram. Jangan kita jadi begitu. Jangan cepat melatah. Tolong buka minda kita dan terima hakikat ini.  Ayuh kita lihat secara dekat bagaimanakah cara ber’couple’ yang di katakan tidak salah oleh segelintir kita.
Cara berhubung
~ Menelefon ( telefon, internet)
~ SMS (Telefon, internet)
~ Chating
~ Dating
          Betulkah begitu yang dikatakan tidak salah? Betulkah kita? Cuba renung sekali lagi.
~Menelefon ~SMS ~Chating ~Dating
Biasanya berapa lama kita menelefon awek atau pakwe kita? Pastinya tidak kurang 10 minit kan? Apa yang dibincangkan sehingga begitu lama? Projek juta manakah yang berpangkalan dimanakah yang mahu dibina? Ya, bukan projek juta mahupun projek mega, tetapi projek dosa. Projek dosa yang bercakap tentang perkara sia-sia yang membawa kepada pembaziran masa, tenaga dan juga wang ringgit. Dalam lama mereka bercakap, pastinya manusia yang normal dan masih mempunyai kejantinaan yang sihat akan merasai sesuatu kelainan jika bercakap dengan lawan jantina. Apakah yang dirasakan itu? Mahukan istilah yang tepat? Ya, itulah zina hati yang dilarang oleh Rasulullah. Begitulah juga dengan SMS dan Chating. Manakala, Dating pula adalah kemuncak bagi sesebuah perhubungan yang dipanggil couple. Atau adakah lagi perkara lain? Jika ada, apakah ia? Jangan wahai saudara. Jangan wahai saudari. Jangan sampai “nasi menjadi bubur”. Ingatlah hadis ini:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap bani Adam berpeluang untuk berzina. Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya adalah dengan melihat. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah dengan mencium dan hati itu juga berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari zina tersebut.” (Riwayat Ahmad)
Kesinambungan daripada hadis di atas, marilah kita perhatikan maksud ayat al-Quran daripada surah al-Isra’ ayat 32 ini:
“dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji . Dan suatu jalan yang buruk.”
          Sudah sedarkah kita dengan penyataan daripada Rasulullah dan juga firman Allah itu tadi? Atau kita masih membela kesucian istilah cinta sebelum kahwin. Ketahuilah, membancuh cinta itu ada caranya. Mengapa perlu tergesa-gesa dan kalut dalam mencari jodoh sehinggakan cinta yang dipilih adalah cinta yang penuh dengan pendustaan dan penipuan. Apatah lagi sehingga hukum tuhan sanggup dilawan.
Apa yang penting, sucikan diri dan bermohon agar dikurniakan teman yang seangkatan dengan kita dalam mentaati Allah. Kahwin dan carilah cinta dalam rumah tanggamu itu. Pastinya cinta yang tersemai dalam diri orang yang mencintai Allah dengan mengamalkan segala perintah Allah adalah cinta yang tulus dan mulia. Jangan bimbang. Jika kita disayangi kerana Allah, pastinya kita akan disayangi selagi kita berada dalam jalan Allah. Jika inilah yang telah kita peroleh, maka peganglah ia dengan kuat. Gigitlah ia dengan gerahangmu. Simpulkan ia dengan simpulan mati pada tanganmu. Jika mampu untuk menguncinya, sila kuncikan ia. Pastikan ia subur dan terus menghijau. Pastinya, bancuhan cinta ini akan mengasyikkan kita tatkala jiwa mula dipayunginya. Semoga Allah redha dengan cinta ini dan membantu kita menuju ke Firdausi.

Ku Serahkan Cintaku Kembali

          Sungguh pilu apabila aku terpaksa memaksa diri aku untuk melupakan cinta yang aku genggam selama ini. Kenangan cinta aku dengan si dia sungguh indah. Masih terpancar di mindaku bagaimanakah saat yang indah yang aku lalui bersamanya. Masih terbayang wajah yang lunak itu pada pandanganku. Lemah lembut gayanya sungguh memikat aku untuk mendekatinya dan terus menyintainya.
          Namun, Engkau telah mentakdirkan aku untuk ditinggalkannya. Sungguh perit bagi aku untuk menerimanya. Aku terkadang sedih, dan terkadang pilu. Tidak dapat aku bayangkan bagaimanakah hidup aku tanpa dia. Mampukah aku bahagia  tanpa dirinya. Wajarkah aku jika seharian aku hidup tanpa memikirkan dirinya. Jahat sungguh diriku Tuhan kerana terdetik dalam hati kecil ini menyalahkan takdir-Mu. Maafkan aku Tuhan.
          Kini, aku sedar apa yang Engkau lakukan itu banyak hikmahnya. Cinta yang suci yang aku sangkakan, rupanya busuk dan jijik. Engkau telah memanggil aku untuk melihat kebesaran-Mu. Sungguh hina aku kerana selama ini telah menidakkan kurniaan-Mu kepadaku. Aku tidak mensyukuri segala limpahan nikmat yang engkau hadiahkan kepadaku.
Saat Yang Berharga Bagi Diriku
        Sedih yang melanda tidak dapat aku sembunyikan lagi. Wajahnya yang meninggalkan aku, selalu aku terbayang. Terfikir aku, kenapakah begini pengakhiran aku dengan dirinya. Jawapan yang aku tunggu darinya tidak terjawab. Namun, sekarang aku yakin dengan jawapan yang aku peroleh. Aku harap, jawapan yang akan aku sebutkan akan menjadi jawapan yang akan aku hayati dalam seluruh hidupku nanti sehingga ku ketemu pintu penghubung alam ketiga dan alam keempat.
          Jawapannya adalah, Allah amat sayang pada diri aku dan mahukan aku untuk mencintai-Nya. Allah merindui aku untuk aku selalu menjadi hamba yang taat pada suruhannya. Allah inginkan kembali cinta utama yang tersalah aku serahkan. Allah mahu aku semaikan cinta aku pada-Nya dan dekatkan diriku pada-Nya.
          Wahai Tuhan, sungguh hina hamba-Mu ini. Engkau mengharapkan aku untuk taat pada-Mu, sedangkan aku sebagai hamba sepatutnya sedar bahawa mencintai-Mu adalah satu kewajipan. Saat ini, dengan diri yang hina ini, aku memohon kepada-Mu wahai Tuhan. Ampunilah cinta yang salah antara aku dengannya. Ampuni diriku dan juga dirinya. Ketemukan dirinya dengan cinta-Mu wahai Tuhan yang Maha Pemurah. Dengan linangan air mata ini, aku berharap agar Engkau maafkan hamba-Mu ini wahai Tuhan.
          Terimalah cinta dariku wahai Tuhan. Ya Allah, bantulah aku untuk mencintai-Mu dengan sepenuh ketaatan pada-Mu. Jauhkan aku dari sesuatu dosa yang mampu memudarkan kesetiaan cinta aku pada-Mu. Semoga saat ini menjadi saksi bahawa aku sangat mencintai-Mu dan sangat mengharapkan redha-Mu ya Allah.

Tuesday, 18 October 2011

Berhentilah Bersangka Buruk!

Bayangan Ganjaran Bagi Orang Yang Soleh
          Manusia yang sedar bahawa hidupnya adalah sebuah hadiah yang berharga daripada Allah iaitu untuk menjadi orang yang mencintai dan dicintai Allah akan mempunyai impian yang tinggi iaitu untuk mendiami syurga. Indahnya syurga adalah tidak dapat kita bayangkan. Bersama kita hayati maksud sebuah hadis Qudsi ini:
          “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: ‘Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan mata, didengari oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
          Kisah
Kisah ini saya salin semula daripada Majalah Solusi, Isu no.28, hlm. 18.
          Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Nasa’i, Anas bin Mali menceritakan satu peristiwa yang dialaminya dalam sebuah majlis bersama Rasulullah s.a.w..
          Suatu hari sewaktu para sahabat duduk bersama Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda yang bermaksud: “Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian seorang penghuni syurga.”
          Seketika kemudian muncul lelaki Ansar yang janggutnya basah dengan air wuduknya. Dia mengikat kedua-dua sandalnya pada tangan sebelah kiri.
Keesokan hari, Rasulullah mengulangi perkataan yang sama: “akan datang seorang lelaki penghuni syurga.” Dan muncul jua orang yang sama. Begitulah nabi mengulangi selama tiga kali.
          Seusai majlis Rasulullah itu, Abdullah bin Umar bin al-Ash r.a. mengikuti lelaki yang disebut oleh nabi itu. Beliau cuba mencari helah untuk tinggal bersamanya.
          “Saya bertengkar dengan ayah saya, dan saya berjanji kepada ayah saya bahawa selama tiga hari saya tidak akan menemuinya. Bolehkah kamu memberi tempat perlindungan kepada saya selama tiga hari itu?” pinta Abdullah bin Amr bin al-Ash kepada lelaki itu.
Abdullah diizinkan oleh orang itu ke rumahnya dan tidurlah di rumahnya selama tiga malam. Selama itu Abdullah ingin menyaksikan ibadah apakah yang dilakukan oleh orang itu sehingga dia dikhabarkan oleh Rasulullah sebagai penghuni syurga. Tetapi selama itu juga dia tidak menyaksikan sesuatu apa yang istimewa dalam ibadahnya.
Kata Abdullah: “Setelah tiga hari aku tidak melihat amalannya sehingga aku hampir-hampir meremehkan amalannya, lalu aku berkata: Hai hamba Allah! Sebenanya aku tidak bertengkar dengan ayahku dan tidak juga aku menjauhinya. Tetapi aku mendengar Rasulullah berkata tentang dirimu sampai tiga kali, ‘akan datang seseorang daripadamu sebagai penghuni syurga.’ Aku ingin memerhatikan amalanmu supaya aku dapat menirunya. Mudah-mudahan dengan amalan yang sama aku mencapai kedudukanmu.’ Berkata lelaki tersebut: ‘ Apa yang aku amalkan tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan.’
          “Ketika aku mahu pulang, dia memanggilku dan berkata: ‘Demi Allah, amalanku tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan itu. Hanya aku tidak pernah menyimpan pada diriku niat yang buruk terhadap kaum muslim, dan aku tidak pernah menyimpan rasa dengki atas kebaikan yang diberikan Allah kepada mereka.”
          “Lalu aku berkata: ‘Begitu bersihnya hatimu daripada perasaan buruk terhadap kaum muslim dan bersihnya hatimu daripada persaan dengki, inilah yang meyebabkan engkau sampai ke tahap terpuji itu. Inilah yang tidak mampu kami lakukan.” (Hayat sahabah, jil. 2, hlm. 520-521).
          Melalui kisah di atas, telah kita sedari bahawa walau amal yang tidak banyak tetapi apabila memiliki hati yang tidak bersangka buruk dan tiada dengki kepada Muslim, maka syurgalah ganjarannya. Bayangkan, apatah lagi jika kita banyak melakukan amal dan berbekalkan hati yang bersih daripada prasangka jahat dan khianat, maka pastinya ganjaran yang lebih baik menanti kita. InsyaAllah.

Monday, 17 October 2011

Keluarlah Dari Kepompong Jasad Mu

          Setiap manusia mempunyai roh dan mempunyai jasad. Tahukah kita apa itu jasad dan apa itu roh? Senang kata, jasad itu adalah tubuh badan kita sekarang ini. Manakala roh pula isi dalam yang terdapat dalam diri kita. Ada orang kata, jika roh itu mengikut bentuk badan seorang. Jika besar, maka besarlah rohnya dan jika kecil maka kecillah rohnya. Sebenarnya hal itu tidaklah tepat kerana untuk hal yang berkenaan, hanya Allah yang tahu. Di dalam al-Quran telah disebut bahawa hal berkenaan dengan roh ini adalah Allah lebih tahu mengenainya.
          Di Manakah Roh?
          Tiada siapa yang tahu di mana roh. Akan tetapi, perlu kita tahu roh adalah penggerak kepompong yang kita tumpang ini. Jangan pula kita bangga sekiranya kita berwajah kacak dan berbadan tinggi. Jangan pula kita meninggi hidung jika kita memiliki bulu mata lentik dan berhidung mancung. Begitu juga, jangan kita merasa sedih dengan keadaan kepompong yang kita tumpangi ini sekiranya ia cacat anggota, lembab dan bodoh. Sebaliknya, bersyukur dengan kurniaan tuhan kepada kita dan berusaha mengatasi segala kelemahan yang terdapat pada diri kita.
          Sedarlah kita bahawa kita adalah roh yang hanya menumpang jasad. Tidak perlu berbangga dengan jasad yang kita pinjam ini. Bahkan kita perlu sedar bahawa kepompong yang kita pakai ini adalah sebahagian daripada musibah jika ianya membawa kita jauh dari Allah. Kita selalu mendengar cerita Firaun yang berbangga dengan jasadnya yang tidak ditimpa kesakitan dan sebagainya. Sesungguhnya, jasad Firaun yang bertuah ini salah satu bukti daripada musibah daripada Allah kepadanya kerana pada akhir hayatnya, Firaun telah mati dengan penuh azab dan seksanya. Keseksaan tersebut telah dapat disaksikan di bumi ini lagi, tidak dapat kita bayangkan betapa seksanya di akhirat nanti.
          Adakah kita mahu menjadi seperti firaun yang tidak menghargai jasadnya yang bernasib baik itu. Mahukah kita dengan sebab bertuahnya jasad, menderita roh kita? Pastinya tidak. Oleh itu, pastikan kita patuh dengan arahan Allah dan gunakan jasad kita sebaik mungkin. Tunggangi jasad kita untuk membuat amal kebaikan dan mencegah kemungkaran.
          Keluarkan Roh dari Jasad
          Roh anda adalah diri anda yang sebenarnya. Apabila anda sudah meninggal dunia, maka kelongsong anda akan terpisah dari roh anda. Jadi di mana anda ketika itu? Pada jasadkah atau pada roh kah? Pastinya pada roh. Sedarlah mulai sekarang bahawa kita adalah roh yang tersembunyi dalam jasad yang kita tengok dengan mata kita setiap hari melalui cermin. Dan ingatlah bahawa jasad mampu menjadi penghijab kita dengan Allah jika kita tidak memahami hakikat yang sebenar ini.
          Sekarang, kita sudah faham bahawa kita adalah roh yang tersembunyi dalam jasad kita ini. Gunakanlah jasad yang kita miliki ini sebagai alat untuk kita mendapatkan redha Allah dengan hidup kita ini. Keluarkan roh dari jasad anda. Kuasai jasad anda dengan sebaik mungkin  dan ingatlah bahawa kita adalah hamba yang sangat lemah dan hanyalah sekadar yang diciptakan.

Friday, 14 October 2011

Kenapa mesti cinta kepada Allah?

          Menjadi seorang manusia adalah satu perkara yang sangat indah dalam kehidupan seorang manusia.  Bukanlah untuk mengejar kemewahan dunia, bukanlah untuk menambahkan perbelanjaan dan bukan juga untuk mendapatkan keuntungan duniawi semata. Bahkan kita mendapat tugasan yang lebih mulia daripada Allah iaitu menghambakan diri kita kepada Allah.
          Terlalu banyak sebabnya mengapakah kita mensti menjadi hamba Allah. Sungguh, saya percaya bahawa ramai yang menganggap perkataan hamba itu adalah suatu gelaran yang sangat hina di dunia ini. Namun, kita mesti sedar bahawa itulah hakikat kita yang diciptakan ini. Secara teknikalnya, yang mencipta adalah berkuasa pada yang dicipta. Begitulah kita, dan kita sememangnya tidak mempunyai pilihan melainkan mencintai Allah sabagai hamba-Nya.
Kecintaan Kepada Allah Membawa Kebahagian Duniawi
Sungguh banyak bukti yang menunjukkan bahawa dengan mentaati Allah hidup kita akan tenang. Dalam al-Quran juga ada menyebut, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Mungkin ada dari golongan yang tidak percaya kepada Islam akan berkata ‘Ah, itu kata al-Quran, memanglah akan menyokong segala suruhannya’. Untuk itu, mari kita lihat pula bukti yang lain.
Satu kajian telah dijalankan oleh para pengkaji dari universiti tempatan yang mengatakan bahawa antara orang yang paling tenang mindanya dan mempunyai kebahagian dalam membuat apa sahaja kerja mereka adalah orang yang tidak meninggalkan sembahyang. Ini sunggguh tepat dengan kata-kata dari al-Quran yang telah kita sebut tadi kerana di dalam sembahyang, perkara yang paling dituntut adalah khusuk iaitu menghadirkan hati yang mencintai dan merindui Allah.
Begitu juga dengan Firman Allah dalam surah al-Rum dalam ayat yang ke-3.
þÎû oT÷Šr& ÇÚöF{$# Nèdur -ÆÏiB Ï÷èt/ óOÎgÎ6n=yñ šcqç7Î=øóuy ÇÌÈ  
3. di negeri Yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya.
Di dalam tafsiran ini, ‘adna’ bermaksud yang dekat sekali. Tatapi ‘adna’ juga mempunyai maksud yang lain iaitu yang paling lembah. Para pengkaji bumi terkini telah mengkaji bentuk permukaan bumi dan telah mengishtiharkan bahawa Negara Rom adalah Negara yang paling lembah ssekali di atas muka bumi ini. Sungguh hebat al-Quran kerana telah menkhabarkan sesuatu sejak 14 abad tahun yang lepas. Sedangkan orang-orang yang menamakan diri mereka sebagai orang-orang era baru baru dapat mengetahuinya. Hal ini telah membuktikan bahawa Islam telah membawa perkembangan ilmu yang pesat kepada umat manusia. Cuma kita sabagai umat Islam terkadang leka dan masih terkebelakang walaupun kita mempunyai al-Quran sebagai bahan rujukan yang paling agung.

Cinta Allah Kepada Hamba-Nya
          Jikalau hamba mencintai penciptanya, itu adalah perkara yang sepatutnya. Akan tetapi bagaimana pula hukum atau aturan bagi tuhan mencintai perkara yang dicipta-Nya? Sebuah hadis Qudsi daripada Mu’az bin Jabal menyatakan: ‘aku mendengar Rasulullah s.a.w menceritakan daripada Tuhannya yang berfirman: ‘cinta-Ku berhak untuk orang yang bercita kerana-Ku, cinta-Ku berhak untuk orang yang saling tolong-menolong kerana-Ku dan cinta-Ku berhak untuk orang yang saling berkunjung kerana-Ku.’ Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.’
          Begitulah betapa Allah Taala bersifat dengan sifat kasih sayang-Nya. Mencintai hambanya yang sangat hina ini. Kita andaikan diri kita sahaja sudah cukup. Apakah yang akan kita rasa jika orang yang berhutang dengan kita membayar hutangnya dengan kita? Pastinya tidak akan ada apa-apa perasaan kan? Ya, itu adalah kerana memang patut seorang penghutang membayar hutang dengan pemiutang. Akan tetapi, Allah sebagai pemiutang dalam konteks tadi telah menerima pembayaran dari kita dan telah berjanji untuk menyayangi kita dengan rasa sayang yang sangat suci. Sungguh mulia Allah Taala, dan sungguh hina kita jika kita tidak menghargai segala peluang yang telah Allah Talla berikan kepada kita ini. Kembalilah segera kepada Islam dan amalkanlah secara menyeluruh dan jangan pula kita beranggapan bahawa Islam memerlukan kita untuk dimuliakan, akan tetapi sedarlah kita bahawa kita yang memerlukan Islam untuk memuliakan diri kita.

Wednesday, 12 October 2011

Kenapa Aku Teringat Pada Yang Tidak Sepatutnya?

Mencintai Allah dan Rasul-Nya adalah salah satu daripada tanda-tanda manisnya iman. Akan tetapi, mengapakah perkara itu sukar wujud dalam diri aku. Adakah cinta aku pada Pencipta aku masih pudar? Adakah aku terlalu banyak melakukan kesalahan kepada-Nya?
Aku mohon ya Allah, aku bukanlah orang yang mampu untuk menerima kepahitan ini. Sungguh pedas untuk aku kemam. Sungguh panas untuk aku sentuh. Aku tahu, aku banyak berdosa kepada Mu yang Rabb. Untuk itu, aku membuat keputusan untuk kembali pada-Mu ya Rabb.
Tolong lepaskan aku daripada ikatan keduniaan ini ya Allah. Aku terseksa. Sungguh terseksa. Aku tidak sanggup lagi berenang dalam lautan kekotoran ini. Aku tidak mampu bertahan lagi. Jangan biarkan aku lemas di sini. Tolong aku ya Rabb.
Aku adalah aku. Apa yang aku telah lakukan pastinya menjadi tanggunganku suatu hari nanti. Aku tahu apa yang telah aku lakukan. Layakkah aku menjadi hamba-Nya? Sungguh megah aku di atas muka bumi ini. Sungguh angkuh aku di muka bumi ini. Sungguh leka aku di atas muka bumi ini. Segala yang aku lakukan, aku tidak fikirkan terlebih dahulu adakah ianya tepat dengan kehendak-Mu ya Rabb.
Selamatkan aku wahai tuhan yang Maha Esa. Tanpa rahmat-Mu pastinya aku gagal di dunia apstah lagi di akhirat. Terimalah aku kembali wahai tuhan. Terima kembali hamba-Mu yang lemah dan tidak berdaya ini. Terima kembali hamba-Mu yang banyak berdosa ini. Berikan petunjuk dan kudrat pada aku untuk aku terus memuja-Mu. Pimpinlah aku sentiasa agar aku tidak jauh dari kasih sayng-Mu.
Pandanglah aku wahai tuhan. Aku pohon pada-Mu agar Engkau pandang kepada aku dengan pandangan kasih dan sayang-Mu. Jangan sesekali Engkau memandang aku dengan pandangan kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu. Aku takut wahai tuhan. Aku tidak sanggup melukakan hati-Mu walau aku tahu, tidak ada kesan pada-Mu jika aku menderhakai-Mu. Hanya aku sahaja yang menerima pembalasan yang seksa jika aku melakukannya. Pandanglah aku dengan Rahman-Mu ya Rabb.

Tuesday, 11 October 2011

Indahnya Akhlak Islamiyah

          Akhlak Islamiyah ialah pelakuan seorang muslim yang sepatutnya. Semua orang sepatutnya sama, bukan hanya tertumpu kepada orang yang diberi gelaran ustaz, orang alim, tuan imam dan sebagainya. Seharusnya kita semua ingat bahawa semua orang bergantung kepada amalan sendiri suatu hari nanti, jadi berusahalah untuk menjadi yang terbaik pada diri sendiri dengan mengamalkan segala suruhan Allah ditambah dengan amalan sunat, dan terus meninggalkan segala larangan Allah secara tegar.
          Baikkah Akhlak Kita Atau Burukkah?
          Secara mudahnya, akhlak seseorang itu boleh dilihat dengan mudah. Kata imam al-Ghazali “akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu.”
          Ayuh kita pandang kebelakang, dan bagaimanakah akhlak kita yang sebenarnya? Adakah kita rasa kita baik? Bangun sahaja dari tidur tadi, adakah kita secara spontannya mengucapkan syukur kepada Allah yang memberikan kita peluang lagi pada hari ini bagi mengabdikan diri kepadaNya? Jika ya, baguslah. Jika tidak, maka kenallah kita akan diri kita bahawa kita tidak berakhlak dalam aspek ketika bangun dari tidur. Cubalah kita tengok dari aspek yang lain pula, maka kenallah kita secara keseluruhan bagaiamanakah akhlak kita dan layakkah kita digelar sebagai orang yang berakhlak?
Kita juga sepatutnya menjadikan adab dan akhlak islamiyah sebagai asas kehidupan kita seharian. Perlu kita sedari bahawa adab seorang manusia dengan manusia yang lain adalah saling melengkapi. Sebagai contohnya, menjadi adab bagi seorang yang baru hadir ke dalam suatu majlis untuk tidak duduk di antara dua orang yang sedang duduk. Akan tetapi, sudah menjadi tanggungjawab bagi orang yang sedang duduk untuk menjemput orang yang berdiri untuk duduk. Begitulah juga yang telah ditunjukkan oleh saidina Omar yang mana beliau tidak akan duduk dalam suatu majlis jika masih ada yang berdiri. Begitulah indahnya peribadi seorang muslim yang sangat faham tentang Islam dan mengamalkannya dengan sepenuhnya.
Berakhlak Dengan Yang Maha Esa
Berakhlak dengan Allah bermakna kita menjaga adab kita sebagai hamba kepada Allah. Pertama sekali, kita mestilah beriman dengan Allah dengan sebenar-benar iman. Kita mesti mengakui, mempercayai dan yakin bahawa Allah wujud serta beriman dengan rukun-rukunnya dan melaksanakan segala tuntutan-tuntutanNya di samping meninggalkan segala sifat atau perkara syirik terhadapnya.(Solusi bil.28 muka surat 22)
Kita juga sebagai manusia tidak lepas dari melakukan kesilapann sama ada disengajakan ataupun tidak disengajakan. Jadi, cara yang terbaik adalah kita mesti meminta keampunan kepada Allah agar diampunkan segala dosa-dosa kita dan orang di sekeliling kita. Mestilah kita sentiasa melafazkan kalimah penghambaan dan meminta pertolongan serta keampunan setiap masa semoga Allah menerima semua amalan kita. InsyaAllah.