Monday, 17 October 2011

Keluarlah Dari Kepompong Jasad Mu

          Setiap manusia mempunyai roh dan mempunyai jasad. Tahukah kita apa itu jasad dan apa itu roh? Senang kata, jasad itu adalah tubuh badan kita sekarang ini. Manakala roh pula isi dalam yang terdapat dalam diri kita. Ada orang kata, jika roh itu mengikut bentuk badan seorang. Jika besar, maka besarlah rohnya dan jika kecil maka kecillah rohnya. Sebenarnya hal itu tidaklah tepat kerana untuk hal yang berkenaan, hanya Allah yang tahu. Di dalam al-Quran telah disebut bahawa hal berkenaan dengan roh ini adalah Allah lebih tahu mengenainya.
          Di Manakah Roh?
          Tiada siapa yang tahu di mana roh. Akan tetapi, perlu kita tahu roh adalah penggerak kepompong yang kita tumpang ini. Jangan pula kita bangga sekiranya kita berwajah kacak dan berbadan tinggi. Jangan pula kita meninggi hidung jika kita memiliki bulu mata lentik dan berhidung mancung. Begitu juga, jangan kita merasa sedih dengan keadaan kepompong yang kita tumpangi ini sekiranya ia cacat anggota, lembab dan bodoh. Sebaliknya, bersyukur dengan kurniaan tuhan kepada kita dan berusaha mengatasi segala kelemahan yang terdapat pada diri kita.
          Sedarlah kita bahawa kita adalah roh yang hanya menumpang jasad. Tidak perlu berbangga dengan jasad yang kita pinjam ini. Bahkan kita perlu sedar bahawa kepompong yang kita pakai ini adalah sebahagian daripada musibah jika ianya membawa kita jauh dari Allah. Kita selalu mendengar cerita Firaun yang berbangga dengan jasadnya yang tidak ditimpa kesakitan dan sebagainya. Sesungguhnya, jasad Firaun yang bertuah ini salah satu bukti daripada musibah daripada Allah kepadanya kerana pada akhir hayatnya, Firaun telah mati dengan penuh azab dan seksanya. Keseksaan tersebut telah dapat disaksikan di bumi ini lagi, tidak dapat kita bayangkan betapa seksanya di akhirat nanti.
          Adakah kita mahu menjadi seperti firaun yang tidak menghargai jasadnya yang bernasib baik itu. Mahukah kita dengan sebab bertuahnya jasad, menderita roh kita? Pastinya tidak. Oleh itu, pastikan kita patuh dengan arahan Allah dan gunakan jasad kita sebaik mungkin. Tunggangi jasad kita untuk membuat amal kebaikan dan mencegah kemungkaran.
          Keluarkan Roh dari Jasad
          Roh anda adalah diri anda yang sebenarnya. Apabila anda sudah meninggal dunia, maka kelongsong anda akan terpisah dari roh anda. Jadi di mana anda ketika itu? Pada jasadkah atau pada roh kah? Pastinya pada roh. Sedarlah mulai sekarang bahawa kita adalah roh yang tersembunyi dalam jasad yang kita tengok dengan mata kita setiap hari melalui cermin. Dan ingatlah bahawa jasad mampu menjadi penghijab kita dengan Allah jika kita tidak memahami hakikat yang sebenar ini.
          Sekarang, kita sudah faham bahawa kita adalah roh yang tersembunyi dalam jasad kita ini. Gunakanlah jasad yang kita miliki ini sebagai alat untuk kita mendapatkan redha Allah dengan hidup kita ini. Keluarkan roh dari jasad anda. Kuasai jasad anda dengan sebaik mungkin  dan ingatlah bahawa kita adalah hamba yang sangat lemah dan hanyalah sekadar yang diciptakan.

No comments:

Post a Comment