Tuesday, 18 October 2011

Berhentilah Bersangka Buruk!

Bayangan Ganjaran Bagi Orang Yang Soleh
          Manusia yang sedar bahawa hidupnya adalah sebuah hadiah yang berharga daripada Allah iaitu untuk menjadi orang yang mencintai dan dicintai Allah akan mempunyai impian yang tinggi iaitu untuk mendiami syurga. Indahnya syurga adalah tidak dapat kita bayangkan. Bersama kita hayati maksud sebuah hadis Qudsi ini:
          “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: ‘Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan mata, didengari oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
          Kisah
Kisah ini saya salin semula daripada Majalah Solusi, Isu no.28, hlm. 18.
          Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Nasa’i, Anas bin Mali menceritakan satu peristiwa yang dialaminya dalam sebuah majlis bersama Rasulullah s.a.w..
          Suatu hari sewaktu para sahabat duduk bersama Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda yang bermaksud: “Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian seorang penghuni syurga.”
          Seketika kemudian muncul lelaki Ansar yang janggutnya basah dengan air wuduknya. Dia mengikat kedua-dua sandalnya pada tangan sebelah kiri.
Keesokan hari, Rasulullah mengulangi perkataan yang sama: “akan datang seorang lelaki penghuni syurga.” Dan muncul jua orang yang sama. Begitulah nabi mengulangi selama tiga kali.
          Seusai majlis Rasulullah itu, Abdullah bin Umar bin al-Ash r.a. mengikuti lelaki yang disebut oleh nabi itu. Beliau cuba mencari helah untuk tinggal bersamanya.
          “Saya bertengkar dengan ayah saya, dan saya berjanji kepada ayah saya bahawa selama tiga hari saya tidak akan menemuinya. Bolehkah kamu memberi tempat perlindungan kepada saya selama tiga hari itu?” pinta Abdullah bin Amr bin al-Ash kepada lelaki itu.
Abdullah diizinkan oleh orang itu ke rumahnya dan tidurlah di rumahnya selama tiga malam. Selama itu Abdullah ingin menyaksikan ibadah apakah yang dilakukan oleh orang itu sehingga dia dikhabarkan oleh Rasulullah sebagai penghuni syurga. Tetapi selama itu juga dia tidak menyaksikan sesuatu apa yang istimewa dalam ibadahnya.
Kata Abdullah: “Setelah tiga hari aku tidak melihat amalannya sehingga aku hampir-hampir meremehkan amalannya, lalu aku berkata: Hai hamba Allah! Sebenanya aku tidak bertengkar dengan ayahku dan tidak juga aku menjauhinya. Tetapi aku mendengar Rasulullah berkata tentang dirimu sampai tiga kali, ‘akan datang seseorang daripadamu sebagai penghuni syurga.’ Aku ingin memerhatikan amalanmu supaya aku dapat menirunya. Mudah-mudahan dengan amalan yang sama aku mencapai kedudukanmu.’ Berkata lelaki tersebut: ‘ Apa yang aku amalkan tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan.’
          “Ketika aku mahu pulang, dia memanggilku dan berkata: ‘Demi Allah, amalanku tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan itu. Hanya aku tidak pernah menyimpan pada diriku niat yang buruk terhadap kaum muslim, dan aku tidak pernah menyimpan rasa dengki atas kebaikan yang diberikan Allah kepada mereka.”
          “Lalu aku berkata: ‘Begitu bersihnya hatimu daripada perasaan buruk terhadap kaum muslim dan bersihnya hatimu daripada persaan dengki, inilah yang meyebabkan engkau sampai ke tahap terpuji itu. Inilah yang tidak mampu kami lakukan.” (Hayat sahabah, jil. 2, hlm. 520-521).
          Melalui kisah di atas, telah kita sedari bahawa walau amal yang tidak banyak tetapi apabila memiliki hati yang tidak bersangka buruk dan tiada dengki kepada Muslim, maka syurgalah ganjarannya. Bayangkan, apatah lagi jika kita banyak melakukan amal dan berbekalkan hati yang bersih daripada prasangka jahat dan khianat, maka pastinya ganjaran yang lebih baik menanti kita. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment