Wednesday, 26 October 2011

Ku Serahkan Cintaku Kembali

          Sungguh pilu apabila aku terpaksa memaksa diri aku untuk melupakan cinta yang aku genggam selama ini. Kenangan cinta aku dengan si dia sungguh indah. Masih terpancar di mindaku bagaimanakah saat yang indah yang aku lalui bersamanya. Masih terbayang wajah yang lunak itu pada pandanganku. Lemah lembut gayanya sungguh memikat aku untuk mendekatinya dan terus menyintainya.
          Namun, Engkau telah mentakdirkan aku untuk ditinggalkannya. Sungguh perit bagi aku untuk menerimanya. Aku terkadang sedih, dan terkadang pilu. Tidak dapat aku bayangkan bagaimanakah hidup aku tanpa dia. Mampukah aku bahagia  tanpa dirinya. Wajarkah aku jika seharian aku hidup tanpa memikirkan dirinya. Jahat sungguh diriku Tuhan kerana terdetik dalam hati kecil ini menyalahkan takdir-Mu. Maafkan aku Tuhan.
          Kini, aku sedar apa yang Engkau lakukan itu banyak hikmahnya. Cinta yang suci yang aku sangkakan, rupanya busuk dan jijik. Engkau telah memanggil aku untuk melihat kebesaran-Mu. Sungguh hina aku kerana selama ini telah menidakkan kurniaan-Mu kepadaku. Aku tidak mensyukuri segala limpahan nikmat yang engkau hadiahkan kepadaku.
Saat Yang Berharga Bagi Diriku
        Sedih yang melanda tidak dapat aku sembunyikan lagi. Wajahnya yang meninggalkan aku, selalu aku terbayang. Terfikir aku, kenapakah begini pengakhiran aku dengan dirinya. Jawapan yang aku tunggu darinya tidak terjawab. Namun, sekarang aku yakin dengan jawapan yang aku peroleh. Aku harap, jawapan yang akan aku sebutkan akan menjadi jawapan yang akan aku hayati dalam seluruh hidupku nanti sehingga ku ketemu pintu penghubung alam ketiga dan alam keempat.
          Jawapannya adalah, Allah amat sayang pada diri aku dan mahukan aku untuk mencintai-Nya. Allah merindui aku untuk aku selalu menjadi hamba yang taat pada suruhannya. Allah inginkan kembali cinta utama yang tersalah aku serahkan. Allah mahu aku semaikan cinta aku pada-Nya dan dekatkan diriku pada-Nya.
          Wahai Tuhan, sungguh hina hamba-Mu ini. Engkau mengharapkan aku untuk taat pada-Mu, sedangkan aku sebagai hamba sepatutnya sedar bahawa mencintai-Mu adalah satu kewajipan. Saat ini, dengan diri yang hina ini, aku memohon kepada-Mu wahai Tuhan. Ampunilah cinta yang salah antara aku dengannya. Ampuni diriku dan juga dirinya. Ketemukan dirinya dengan cinta-Mu wahai Tuhan yang Maha Pemurah. Dengan linangan air mata ini, aku berharap agar Engkau maafkan hamba-Mu ini wahai Tuhan.
          Terimalah cinta dariku wahai Tuhan. Ya Allah, bantulah aku untuk mencintai-Mu dengan sepenuh ketaatan pada-Mu. Jauhkan aku dari sesuatu dosa yang mampu memudarkan kesetiaan cinta aku pada-Mu. Semoga saat ini menjadi saksi bahawa aku sangat mencintai-Mu dan sangat mengharapkan redha-Mu ya Allah.

No comments:

Post a Comment