Wednesday, 12 October 2011

Kenapa Aku Teringat Pada Yang Tidak Sepatutnya?

Mencintai Allah dan Rasul-Nya adalah salah satu daripada tanda-tanda manisnya iman. Akan tetapi, mengapakah perkara itu sukar wujud dalam diri aku. Adakah cinta aku pada Pencipta aku masih pudar? Adakah aku terlalu banyak melakukan kesalahan kepada-Nya?
Aku mohon ya Allah, aku bukanlah orang yang mampu untuk menerima kepahitan ini. Sungguh pedas untuk aku kemam. Sungguh panas untuk aku sentuh. Aku tahu, aku banyak berdosa kepada Mu yang Rabb. Untuk itu, aku membuat keputusan untuk kembali pada-Mu ya Rabb.
Tolong lepaskan aku daripada ikatan keduniaan ini ya Allah. Aku terseksa. Sungguh terseksa. Aku tidak sanggup lagi berenang dalam lautan kekotoran ini. Aku tidak mampu bertahan lagi. Jangan biarkan aku lemas di sini. Tolong aku ya Rabb.
Aku adalah aku. Apa yang aku telah lakukan pastinya menjadi tanggunganku suatu hari nanti. Aku tahu apa yang telah aku lakukan. Layakkah aku menjadi hamba-Nya? Sungguh megah aku di atas muka bumi ini. Sungguh angkuh aku di muka bumi ini. Sungguh leka aku di atas muka bumi ini. Segala yang aku lakukan, aku tidak fikirkan terlebih dahulu adakah ianya tepat dengan kehendak-Mu ya Rabb.
Selamatkan aku wahai tuhan yang Maha Esa. Tanpa rahmat-Mu pastinya aku gagal di dunia apstah lagi di akhirat. Terimalah aku kembali wahai tuhan. Terima kembali hamba-Mu yang lemah dan tidak berdaya ini. Terima kembali hamba-Mu yang banyak berdosa ini. Berikan petunjuk dan kudrat pada aku untuk aku terus memuja-Mu. Pimpinlah aku sentiasa agar aku tidak jauh dari kasih sayng-Mu.
Pandanglah aku wahai tuhan. Aku pohon pada-Mu agar Engkau pandang kepada aku dengan pandangan kasih dan sayang-Mu. Jangan sesekali Engkau memandang aku dengan pandangan kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu. Aku takut wahai tuhan. Aku tidak sanggup melukakan hati-Mu walau aku tahu, tidak ada kesan pada-Mu jika aku menderhakai-Mu. Hanya aku sahaja yang menerima pembalasan yang seksa jika aku melakukannya. Pandanglah aku dengan Rahman-Mu ya Rabb.

No comments:

Post a Comment