Monday, 12 January 2015

Sumbang suara membentuk suasana.
Bercakap. Menggerakkan bibir dan mulut dengan mengeluarkan suara. Membunyikan kalimah-kalimah sehingga difahami maksud gabungan kalimah yang dicakapkan itu. Banyak benar manfaat yang diperoleh daripada bercakap. Tapi ingat, banyak juga maksiat yang terhasil daripada bercakap.
Ramai orang menyangka, orang yang petah bercakap itu hebat. Mungkin juga orang yang petah bercakap itu terdorong untuk bercakap dengan lantang dek faham bahawa mulut yang lancar mengungkap itu hebat. Lalu, setiap tempat dan saat menjadi pentas untuknya bercakap dengan lantang.
Memang, bercakap itu penting. Untuk komunikasi dan saling memahami. Malah perlu diingat, senyap juga bukan tidak penting. Dalam senyap juga tidak bermaksud tiada ruang untuk komunikasi dan memahami. Lihat sahaja pasangan yang ralik bercinta. Tidak perlu banyak bicara untuk menghulurkan cinta. Malah komunikasi boleh terjalin dengan hanya pandangan mata. Mata yang berpandangan merenung tajam dalam keindahan cinta. Seribu cerita dan rahsia tersembur dalam panahan mata keduanya. Nah, benarkah hanya suara yang kuat dan petah dapat membentuk komunikasi dan memahami?
Malah perlu diingat, mulut yang petah memungkinkan kita untuk selalu melampaui batasan aturan bercakap yang ditetapkan Allah. Jadi beringatlah selalu agar dapat mengawal keliaran bercakap berlandaskan aliran yang benar.

Bahana kelancaran lisan yang berpaksikan nafsu.
Memang seronok untuk bercakap apatah lagi apabila perkataan kita disorak oleh manusia. Lalu terdoronglah seseorang itu bercakap dengan menambahkan unsur hiburan dalam patahnya. Unsur hiburan itu termasuklah menambahkan isu-isu hangat, perkara-perkara lucu dan sebagainya. Menyedihkan apabila sudah terdesak untuk meraih sorak manusia, kata kejian dan memburuk-burukkan terus dijadikan bahan. Kini, bukan sahaja sorakan manusia alpa sahaja yang diperoleh, malah sorakan syaitan turut menjadi penyeri. Terus didorong oleh syaitan untuk 'membelasah' orang lain yang tidak bersalah melalui lidahnya. Maka semakin rancak bicaranya merendah-rendahkan orang lain.

Hakikat mengata, mengumpat dan merendah-rendahkan orang lain.
Menurut ahli psikologi, orang yang suka merendah-rendahkan orang lain sebenarnya merupakan seorang yang tidak yakin dengan diri sendiri malah merasakan diri mereka lemah berbanding orang yang dijadikan bahan itu. Lalu, untuk mengelakkan dirinya terus lemah dan tidak dilihat orang, maka umpatan dijadikan medan untuknya meninggikan diri dan merendahkan orang lain.
Hina. Itulah hina yang tersedak dan terdesak. Bukan hina yang patuh dan menjadi contoh. Semestinya kita sebagai manusia, adalah hina. Apakah nilaian hamba melainkan hina? Ya, hamba yang mengambil jalan mudah untuk memuliakan diri sendiri iaitu dengan merendahkan orang lain merupakan hamba yang tersedak dan terdesak. Berbeza dengan hamba yang patuh dan menjadi contoh, mereka hidup dengan hidup bersyariat. Tuturnya indah dan tidak bernoda. Meragut kemuliaan orang lain dengan merendah-rendahkan orang lain.
Pengumpat dipandang tinggi hanya oleh pengumpat sahaja.
Tidak perlu megah wahai pengumpat. Hidupmu tidak mulia dengan mengumpat. Ingatlah, pendengar yang baik tidak akan mendengar umpatan dan cemuhan melainkan menilai orang yang sedang mencemuh dan mengumpat sebagai seorang manusia lemah yang angkuh. Hanya golongan rendah iman dan berfikiran negatif sahaja akan menerima kataan pengumpat dan pencemuh. Jangan bimbang wahai pengumpat, orang yang mendengar dengan khusyuk itu pastinya bakal mengumpatmu dan mencemuhmu suatu hari nanti!

Tuesday, 1 July 2014

Mimpi


Sungguh enak rasa mimpi yang kena dengan kehendak. Bangkit daripada tidur bagaikan terpaksa apabila mimpi telah mengulit dengan asyiknya. Rasa tidak mahu bangun dari tidur. Rasanya bagai mahu terus tidur dan bersama mimpi yang indah itu. Asyik sungguh. Enam atau tujuh jam tidur terasa sangat sekejap. Bagaikan hanya beberapa minit melelapkan mata, sudah tiba masa untuk membuka mata. Ah, geramnya… aku mahu mimpi itu kembali lagi.
Kini aku telah bangkit daripada tidur selama sejam. Kenangan bersama mimpi indah sudah mula padam. Sudah semakin hilang dan hampir dilupakan. Baru sejam. Tapi, jika dibandingkan dengan perasaan sewaktu mimpi, memang berbeza amat. Sekarang mimpi itu bagaikan kenangan. Yang mahu dihadapi adalah kenyataan. Kenyataan bahawa kita adalah hamba yang pastinya mempunyai kesulitan dan kesempitan hidup. Pastinya memaksa kita untuk tidak berjaya memiliki semua yang kita ingini.
Dalam mimpi, sangat indah. Terbang ke sana, terbang ke sini. Sekejap di sana, sekejap di sini. Namun, itulah yang mengasyikkan. Apatah lagi kita bermimpi sesuatu yang memang kita ingini. Sesuatu yang tidak mungkin kita miliki tapi di dalam mimpi, ia kita kuasai. Mahu sahaja kita bawanya keluar dari mimpi dan hidup bersama di alam realiti. Tapi, tidak boleh. Ia hanya di dalam mimpi. Hanya menghias dan menghibur di kala mata melihat kehitaman tidur.

Jangan bimbang jika hari ini mimpi itu sekadar mimpi. Usahakan agar diri diberi nikmat oleh Allah dengan Firdausi. Jika terlalu menginginkan apa yang ada di dalam mimpi, minta sahaja di sana nanti. Jangankan mimpi, apa sahaja yang belum kita termimpikan pun telah tersedia di sana. Janji Allah itu pasti. Teruskan usaha di dunia ini agar di sana nanti kita dihadiahi dengan nikmat yang tidak pernah diimpi.

Tuesday, 30 July 2013

Monolog suami….jika dia bukan aku….

Engkaulah temanku

Bukan hendak mendewakan, apatah lagi menuhankan. Engkau ku cintai, engkau ku sayangi. Engkau temanku, engkaulah isteriku.

Begitulah ayat yang biasa kita dengar yang diluahkan oleh seorang suami yang baru berkahwin. Terlalu mencintai isterinya. Isterinya pun sama, menjaga suaminya seperti menatang minyak yang penuh. Tika menatangnya, ke kiri sangat pun tidak, ke kanan sangat pun tidak. Dengan harapan, minyak tidak akan tumpah. Penuh kasih sayang dan pengharapan.
Tidak lama kemudian..

Bukan hendak kuluahkan, apatahlagi mengecewakan. Engkau ku nikahi, sebagai penenang jiwa, bukan penyerabut kepala…

Agak lain bunyinya setelah beberapa ketika meniti kehidupan berumah tangga. Setelah berusaha mengecapi kemanisan, namun kepahitan yang tetap menjelma. Yang dikejar hanya bayangan, yang terkejar pasti igauan. Keliru. Ke mana perginya cita-cita dahulu.

Engkau ku sayangi, engkau ku cintai. Dulu engkau selalu di hati, dan engkau selalu ku rindui. Kini engkau selalu di mata, tapi di hati engkau tidak bertakhta.

Percintaan dirasakan bagaikan sebuah paksaan. Sebelum berkahwin, semua impian mahu ditunaikan. Semua gambaran indah pasti menyeronokkan. Setelah berkahwin, yang diimpikan berusaha untuk ditunaikan dan sudah tertunai. Segala tegahan tidak dihiraukan. Tegahan dirasakan suatu tekanan yang tidak sepatutnya dan tersalah diadakan. Akan tetapi, gambaran indah yang menyeronokkan tidak juga menjelma dan dirasakan. Rasa tertipu dengan suasana dan ketika. Akhirnya, usaha yang diusahakan tidak membawa makna.

Engkau peneman, bukan tuhan!

Tewas dan akur. Perkahwinan bukan sekadar mencari yang digambari. Bukan menanti sehingga merasai. Bahkan, perkahwinan merupakan sebuah kurniaan tuhan yang nilaiannya bukan bandingan gunian emas. Ia tidak mampu dibandingkan. Perkahwinan membawa kenikmatan yang tidak mampu digambarkan dengan kalimatan. Ia terlalu mengembirakan hati insan yang dahagakan percintaan.
Isteri dan suami bukan tuhan. Itu hakikatnya. Yang tuhan adalah yang menciptakan kita dan semua melainkan Dia. Jika mengharap pada isteri atau suami untuk kebahagiaan, pasti yang diperoleh hanyalah kekecewaan. Isteri dan suami boleh mengusahakan, tapi siapakah yang mengurniakan?

Pulanglah pada dia!

Dia yang mengurniakan. Cintai Dia, pasti dia mengurniakan. Dia Pemurah, Dia Penyayang. Dia Pemurah terhadap semua ciptaan-Nya. Dia Penyayang pada yang menyayangi-Nya. Cintai Dia dengan sepenuh hatimu. Ingat, sepenuh hatimu! Ingatlah, hati yang mencintai Allah pasti akan tenang dan gembira setiap masa. Ini telah nyata dalam al-Quran.

Manakala, dimensi hati yang tenang dan gembira akan membawa perspektif baru. Fikirannya sentiasa positif dan melahirkan tindakan yang komprehensif. Kedinamikan pandangannya akan membawa perubahan yang efektif dalam segenap ruang. Saya pasti, kita akan menemui kenikmatan percintaan dalam sebuah perkahwinan. Pasangan yang saling mencintai Allah akan menghapuskan ketegangan dan permasalahan. Kemurnian cinta akan terbit dan menyinarkan cahaya kebahagiaan. Kini, kita berpeluang merasai kenikmatan yang tidak pernah dibayangkan. Segala impian pasti akan kesampaian!

Wednesday, 24 July 2013

Engkau tahu, betulkah engkau tahu?


Bila kita bercakap, pastinya kita sudah berfikir terlebih dahulu sebelum mengungkapkan. Apa yang kita luahkan, adalah apa yang kita rasakan paling betul. Apa yang kita katakan, adalah yang terbaik yang kita rasakan. Seterusnya, kita juga yakin dengan perkara yang kita sampaikan. Namun, benarkan tepat dan betul apa yang kita katakan itu?

Bercakaplah atas dasar utama, Quran dan al-Hadis.

Ramai ilmuan yang suka memberikan ceramah dan menyebarkan ilmu. Ini bagus. Manakala ramai pula ilmuan yang memberikan ceramah dan tazkirah dengan memasukkan fahaman yang tidak selari dengan Quran dan al-Hadis. Mereka banyak menyuluh perkara yang tidak penting dan banyak sekali membawakan pendapat yang lemah. Ini tidak bagus.
Bukan sahaja kepada penceramah, malah ketika berbincang secara tidak formal, kita biasanya akan terpengaruh dengan “cakap orang tua-tua” lalu digunakan “cakap orang tua-tua” sebagai dalil dan inspirasi dalam menuturkan kata walau hal-hal agama. Memang macam-macam ragam manusia. Apabila mereka yakini sesuatu, pastinya mereka akan berpegang pada yang itu. Malah, mereka juga tidak terlepas untuk memusuhi apa yang tidak diketahui. Begitulah kata ahli psikologi bahawa manusia akan memusuhi perkara yang tidak diketahui.
Terlalu sangat kita menghumban pendapat yang tidak seteru dengan pendapat kita dengan sekejamnya. Kejam sungguh kita apabila sesuatu perkara dimuntahkan sebelum dirasakan terlebih dahulu. Apakah kita tahu bahawa buah naga itu sedap atau tidak jika dipandang jijik sebelum dirasai terlebih dahulu. Tanpa mencubanya, kita telah mencemuh dengan mengatakan “nampak macam bukan buah je, aku tidak suka buah yang tak sedap ini.” Pasti sekali, kita yang akan menanggung kerugian jika rasa buah naga itu sebenarnya sangat bersesuaian dengan selera kita. Begitu juga dengan berbahas dan berbincang, jangan pula kita melihat perkara yang tidak kita ketahui itu sebagai perkara yang salah. Kita selidiki dengan adil dan buatlah pertimbangan. Kita cuba secebis, barulah sahkan bahawa buah naga itu menyelerakan ataupun tidak. Yang penting kita rasakan dengan adil. Bukan kerana terpengaruh dengan kata-kata orang lain.

Pertimbangan yang adil pastinya dengan al-Quran dan al-Hadis

Ramai yang tahu bahawa dasar utama agama Islam adalah al-Quran dan al-Hadis(nas). Namun, ramai yang bertempik melaungkan kemarahan apabila setiap hukum yang wujud perlu disertakan dengan dalil atau nas. Malah, mereka juga ibarat cacing yang kepanasan apabila disoalkan, apakah ada hadis apa yang kamu katakan ini? Seumpamanya mereka sangat tidak setuju apabila dipersoalkan dengan asas-asas agama. Bagi saya, secara peribadinya saya katakan tidak adil. Manusia berhak untuk mengetahui perkara yang tidak diketahui apatah lagi perkara tersebut berkaitan dengan asal-usul agamanya.
Memang ulama’ telah meringkaskan dalil-dalil dan menetapkan hukum-hukum dengan ilmu yang mereka ada dan ini merupakan suatu kemudahan kepada kita untuk beramal. Namun, jika kerana ingin tahu dengan lebih lanjut, tidak salah jika bertanya apakah nas bagi hukum yang telah disebutkan. Bukan tujuannya untuk merendah-rendahkan ulama’ apatah lagi menghinakan ulama’, namun pencerahan tentang agama perlu dibuat dengan suluhan yang terang. Agar agama yang kita anuti ini jelas akan kebenarannya dan tidak pula beragama secara membuta tuli. Bukan sahaja diri yang mengamalkan akan terasa keindahannya, malah kita akan lebih yakin dan tertarik untuk menyebarkan Islam kepada semua.

Nombor satu dahulu baru nombor dua

Begitulah yang kita pelajari sejak dari kecil sehinggalah besar. Nombor satu dahulu, barulah nombor dua. Bukan susah, malah terlalu mudah. Aturannya, nombor satu barulah nombor dua. Sesungguhnya, saya terlalu yakin bahawa ramai antara kita yang tahu bahawa ketika mengadili sesuatu perkara, sama ada dalam hukum atau sebagainya, al-Quran dan al-Hadis perlulah menjadi teras terlebih dahulu sebelum mengguna pakai jumhur ulama dan kias. Ingat aturan, al-Quran dan Hadis, barulah yang lain!

Mungkin ramai yang tidak suka dengan penulisan ini, namun saya rasakan amat penting bagi saya untuk menukilkan rasa hati yang kadangnya terguris dek kejahatan dan kekotoran yang kian bersemadi dalam agama yang kita sayangi ini. Semoga kita semua ditunjukkan jalan yang benar, dapat menilai buah naga dengan sebenarnya!

Sunday, 21 October 2012

Imanku dan Imanmu

Iman. Indah perkataannya. Bahkan setiap manusia yang benar-benar menyedari bahawa Allah adalah tuhannya sangat berhasrat untuk memilikinya. Ia menjadi penyeri pada batang tubuh insan yang bernama muslim. Menjadi ‘tiket’ utama untuk setiap manusia melangkah ke syurga. Semakin teguh iman yang dimiliki, semakin tinggi darjatnya di syurga. Semakin berat ujian yang dilalui dan tetap sabar dengan ujian yang dihadapi, maka semakin tinggi darjat imannya. Semakin angkuh dan riak seseorang itu, semakin nipis imannya dan akhirnya menerima seksaan yang sangat menyeksakan. Malah, itu bukanlah sifir yang memaksa Allah untuk membalas setiap amalan hamba-Nya. Pastinya, Allah tidak akan lemah dengan terpaksa untuk melakukan sesuatu. Namun, itulah kebenaran yang pasti kerana Allah itu Maha Adil. Oleh itu, setiap manusia seharusnya berusaha untuk meningkatkan iman.
Sentiasa Refleksi Iman
          Jika membuat sesuatu kebaikan, renungkanlah bahawa siapa yang mendorong kita untuk membuat kebaikan tersebut. Fikirkanlah siapa yang memberikan keizinan yang mutlak untuk kita melaksanakan ketaatan? Sesungguhnya, makna zikir yang sentiasa kita ungkapkan iaitu, “Tiada kuasa dan daya melainkan dengan keizinan Allah” telah menjawab persoalan ini. Lalu, telah tahu kita bahawa segala kebaikan yang kita lakukan adalah datangnya daripada Allah yang mengizinkan malah Dialah yang menghendakinya. Malah, ketika saat kita melakukan kebaikan, lalu diiringi sifat riak atau perasaan ingin menunjuk-nunjuk, maka segeralah bertaubat. Bukanlah diri yang berkuasa menentukan segala, jika tiada kuasa daripadanya.
          Jika membuat kejahatan, lalu tidak rasa bersalah dengannya. Segeralah bertanya kepada iman. Apakah aku ini akan berakhir sebagai seorang pendosa yang mempunyai tanggungan dosa yang banyak? Tanyakan lagi kepada iman, bukankah matinya seseorang itu tidak diketahui di mana dan bila? Adakah tempat dan saat ini? Jika iman mampu menjawab, segeralah mendengar kata iman. Berhenti melakukan dosa dan pulanglah ke pangkuan tuhan. Jika iman sudah terjahit mulutnya, pintalah hati yang baharu. Begitulah saranan imam al-Ghazali apabila hati kita sudah terlalu gering dan kering. Semoga dengan hati yang baharu, iman mampu subur dan membentuk jiwa kita menjadi manusia yang akur.

Kuatkan Iman!
          Hamba yang lebih kuat, pastinya lebih disayangi Allah. Itulah hakikatnya. Ingatkah kita bahawa syurga itu dikelilingi perkara yang bertentangan dengan kehendak jiwa, manakala neraka pula dikelilingi perkara yang diingini oleh nafsu jahat? Terdapat hikmah yang tinggi disebalik kejadian itu. Ya, orang yang kuat sahaja yang dapat meneruskan perjalanan dalam melawan arus deras iaitu bujukan syaitan dan kemahuan nafsu liar. Menuju syurga memerlukan keperitan, kepayahan dan kesulitan menempuh ranjau ciptaan syaitan. Perkara buruk, dicantikkan oleh syaitan. Maka mata manusia melihat dunia ini sangat cantik sehingga takut mati dan panjang angan-angannya. Kekuatan yang sebenar akan mampu menempuh kecantikan duniawi dan terus berjalan melangkah menuju kecantikan ukhrawi.
Manakala orang yang lemah akan terus lena dibuai syaitan. Mimpi indah yang dilayarinya bakal mencekiknya suatu hari nanti. Begitulah kata Saidina Ali yang berpesan agar sentiasa berjaga semasa hidup ini dan jangan sampai terlena. Hikmah sungguh tutur saidina Ali ini, menekankan kita agar tidak terus hanyut dengan segala kebendaan yang kita miliki. Jika hanyut juga dalam kemewahan dan kecantikan duniawi lakaran syaitan, maka pastinya akan bersama syaitan untuk ‘mandi’ di muaranya. Namun, ingatlah muara ini muara merbahaya. Detik akhirnya tidak akan ada. Muara keseksaan api neraka yang membakar dan menyeksakan kulit-kulit serta pelbagai seksaan yang sangat mengerikan. Pulanglah sebelum terlambat. Kembali menempuh jalan yang diredhai Allah.

Sunday, 23 September 2012

Sumbang suara membentuk suasana.
Bercakap. Menggerakkan bibir dan mulut dengan mengeluarkan suara. Membunyikan kalimah-kalimah sehingga difahami maksud gabungan kalimah yang dicakapkan itu. Banyak benar manfaat yang diperoleh daripada bercakap. Tapi ingat, banyak juga maksiat yang terhasil daripada bercakap.
Ramai orang menyangka, orang yang petah bercakap itu hebat. Mungkin juga orang yang petah bercakap itu terdorong untuk bercakap dengan lantang dek faham bahawa mulut yang lancar mengungkap itu hebat. Lalu, setiap tempat dan saat menjadi pentas untuknya bercakap dengan lantang.
Memang, bercakap itu penting. Untuk komunikasi dan saling memahami. Malah perlu diingat, senyap juga bukan tidak penting. Dalam senyap juga tidak bermaksud tiada ruang untuk komunikasi dan memahami. Lihat sahaja pasangan yang ralik bercinta. Tidak perlu banyak bicara untuk menghulurkan cinta. Malah komunikasi boleh terjalin dengan hanya pandangan mata. Mata yang berpandangan merenung tajam dalam keindahan cinta. Seribu cerita dan rahsia tersembur dalam panahan mata keduanya. Nah, benarkah hanya suara yang kuat dan petah dapat membentuk komunikasi dan memahami?
Malah perlu diingat, mulut yang petah memungkinkan kita untuk selalu melampaui batasan aturan bercakap yang ditetapkan Allah. Jadi beringatlah selalu agar dapat mengawal keliaran bercakap berlandaskan aliran yang benar.

Bahana kelancaran lisan yang berpaksikan nafsu.
Memang seronok untuk bercakap apatah lagi apabila perkataan kita disorak oleh manusia. Lalu terdoronglah seseorang itu bercakap dengan menambahkan unsur hiburan dalam patahnya. Unsur hiburan itu termasuklah menambahkan isu-isu hangat, perkara-perkara lucu dan sebagainya. Menyedihkan apabila sudah terdesak untuk meraih sorak manusia, kata kejian dan memburuk-burukkan terus dijadikan bahan. Kini, bukan sahaja sorakan manusia alpa sahaja yang diperoleh, malah sorakan syaitan turut menjadi penyeri. Terus didorong oleh syaitan untuk 'membelasah' orang lain yang tidak bersalah melalui lidahnya. Maka semakin rancak bicaranya merendah-rendahkan orang lain.

Hakikat mengata, mengumpat dan merendah-rendahkan orang lain.
Menurut ahli psikologi, orang yang suka merendah-rendahkan orang lain sebenarnya merupakan seorang yang tidak yakin dengan diri sendiri malah merasakan diri mereka lemah berbanding orang yang dijadikan bahan itu. Lalu, untuk mengelakkan dirinya terus lemah dan tidak dilihat orang, maka umpatan dijadikan medan untuknya meninggikan diri dan merendahkan orang lain.
Hina. Itulah hina yang tersedak dan terdesak. Bukan hina yang patuh dan menjadi contoh. Semestinya kita sebagai manusia, adalah hina. Apakah nilaian hamba melainkan hina? Ya, hamba yang mengambil jalan mudah untuk memuliakan diri sendiri iaitu dengan merendahkan orang lain merupakan hamba yang tersedak dan terdesak. Berbeza dengan hamba yang patuh dan menjadi contoh, mereka hidup dengan hidup bersyariat. Tuturnya indah dan tidak bernoda. Meragut kemuliaan orang lain dengan merendah-rendahkan orang lain.
Pengumpat dipandang tinggi hanya oleh pengumpat sahaja.
Tidak perlu megah wahai pengumpat. Hidupmu tidak mulia dengan mengumpat. Ingatlah, pendengar yang baik tidak akan mendengar umpatan dan cemuhan melainkan menilai orang yang sedang mencemuh dan mengumpat sebagai seorang manusia lemah yang angkuh. Hanya golongan rendah iman dan berfikiran negatif sahaja akan menerima kataan pengumpat dan pencemuh. Jangan bimbang wahai pengumpat, orang yang mendengar dengan khusyuk itu pastinya bakal mengumpatmu dan mencemuhmu suatu hari nanti!
Banyak hadis yang memberi ancaman kepada orang yang mengumpat. Ingatlah, dosa mengumpat tidak akan terubat dengan taubat kepada Allah sahaja, malah pengampunan daripada orang yang diumpat juga!

Tuesday, 31 July 2012

Aku maafkan dia :)

          Siapa aku untuk megah dan tidak mahu mengalah. Aku hanya hamba yang dikuasa. Nanti dipanggil mengadap Allah pada suatu masa. Dia pernah melukakan aku. Dia pernah menyakiti aku. Sehingga kini janji-janji dia sering bermain di minda aku. Tidaklah aku untuk sengaja mengingatinya. Ia datang membadai di dalam fikiran ini. Sungguh seksa menghadapi hakikat yang aku telah ditinggalkan kerana hati nya telah menerima orang lain. Janji yang dipatri selama banyak tahun hanya ditanam ditepi bibir. Manis. Namun tidak ke mana. Manis. Namun hanya pada kulit nya. Terasnya pahit tak terkata.
          Maafkan aku kerana sukar melupakan. Aku bukanlah manusia ajaib yang punyai kelebihan untuk melupakan janji-janji kita dahulu. Aku lemah. Selalu goyah. Kenangan bersama dia memang tidak senang dan mudah untuk dihapuskan. “Insan Bernama Kekasih” yang sering aku siulkan untuknya, kini hanya bergema dalam mindaku sahaja, malah menjadi duri yang mampu dan selalu menyengat. “Hadirlah Cinta, Cinta Pertama”… lirik lagu yang juga selalu aku nyanyikan untuk dia. Kata dia, aku adalah cinta pertamanya. Malah dia yakin bahawa dia takkan lupakan aku sebagai cinta pertamanya ini.
          Namun sekarang tidak lagi. Sekarang ini dia sedang menabur janji dengan lelaki yang lain pula. Aku tahu. Aku pasti. Dan memang tahu dan aku pasti. Biarkan dia.
          Paling penting, aku harus sedar bahawa aku adalah aku. Aku dicipta untuk mencinta yang memberi cinta dan rasa. Mengapa aku melihat ke bawah dan memilih yang bawah? Adakah akhirnnya aku akan berakhir dengan ‘bawah’ dan kehinaan? Jangan. Jangan begitu wahai aku. Pujuk dirimu untuk melihat ke atas. Lihatlah angkasa yang luas terbentang. Lihatlah laut dan nyawa yang tersergam di sana. Tahukah engkau bahawa yang menciptakan mereka adalah yang menciptakan engkau? Tahukah engkau bahawa engkau itu tiada bezanya jika dibandingkan dengan yang lainnya? Tahukah engkau bahawa dia yang melukakanmu juga tiada beza dengan yang lainnya? Ingat, dia juga manusia. Manusia yang pastinya seorang yang lupa dan berbolak-balik hatinya.
          Ya, kini aku memilih untuk menjadi aku yang baharu. Menyinarkan yang atas dan menyirnakan yang bawah. Meninggalkan cinta yang kecil dan memilih untuk cinta yang maha besar. Aku mahu dan mahu menjadi hamba. Lalu siapa aku untuk menghukum manusia lain dengan tidak memaafkan mereka. Aku hanya hamba. Tidak perlu mengambil tugas Dia Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Aku tidak tahu mengapa dia berbuat begitu. Jika dia benar, Allah lebih mengetahuinya dan berhak mengganjarinya. Jika dia salah, Allah lebih mengetahuinya dan lebih berhak menggarinya. Wahai aku, maafkanlah dia… Ya. Aku maafkan dia J