Setiap orang mempunyai matlamat hidup masing-masing. Ada yang matlamat hidupnya mulia dan ada yang matlamat hidupnya bertaraf sahaya. Mencari kesenangan hidup bagi melayari kehidupan adalah satu tuntutan bagi setiap manusia. Namun, jangan sesekali kita beranggapan bahawa kesenangan hidup itu hanya di dunia yang nyata ini. Perlu kita luaskan konsep kehidupan manusia itu sendiri yang mempunyai 5 padang utama.
1. Alam Roh
2. Alam rahim
3. Alam dunia
4. Alam kubur
5. Alam akhirat
Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita yang berada di muka bumi ini telah melalui melangkau dua alam iaitu alam roh dan alam rahim. Sekarang kita berada di alam dunia dan di sinilah kita diuji dengan pelbagai ujian. Ada yang mendapat ujian yang sedikit dan ada yang mendapat ujian yang banyak. Cuma, ujian itu perlu kita hadapi dengan tenang dan berstrategi. Bagaimana? Kembalilah ke jalan Allah, pasti penyelesaiannya ada.
Guruh Berdentum, Air Tempayan Jangan Dicurahkan
Sungguh malang orang yang beranggapan bahawa segala perancangan yang dibuat akan menjadi. Bukahlah salah untuk yakin dengan apa yang diusahakan bahkan jika tepat dengan caranya, ia berubah menjadi konsep tawakal iaitu bergantung dan berharap kepada Allah setelah berusaha dengan sebaik mungkin.
Akan tetapi malangnya orang yang sebegitu adalah apabila dia meyakini bahawa segala kejayaan yang diperoleh adalah hasil daripada usahanya semata-mata. Maka menjadilah orang ini seperti Qarun yang ingkar dengan jalan kebenaran. Malah tersemat kisah yang masyhur ini di dalam al-Quran. Maksud firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Qasas ayat ke-78 : “Semua harta ini adalah kerana ilmu yang ada padaku.”
Kita bayangkan secara mudah.
Guruh : Kemewahan dunia
Air hujan : Ganjaran Akhirat
Air tempayan : Iman
Apabila guruh berdentum, kita beranggapan bahawa hari akan hujan. Dan sementara itu, kita telah mempunyai simpanan kita sendiri iaitu air di dalam tempayan. Persoalannya, sudah bolehkah kita membuang air di dalam tempayan sebelum tibanya hujan? Jawabya tidak.
Begitu juga dengan iman. Sentiasa perbaharui iman kita, jangan sesekali kita membuangnya sehinggalah kita memperoleh syurga yang kekal abadi. Namun, perlu kita sedar bahawa iman kita tidak perlu dibuang walaupun kita telah mendapat syurga nanti kerana kita perlukan iman untuk terus hidup sebagai mana jasad perlukan roh untuk hidup. Bahkan kemanisan iman yang diperoleh merupakan nikmat terbesar dalam hidup kita sebagai makhluk ini. Tiada kenikmatan yang lebih nikmat melainkan rasa kehambaan dan iman di dalam diri seorang hamba. Fitrah seorang hamba ialah merasai lumrah dirinya adalah seorang hamba. Maka selamatlah ia dari melapetaka dan bencana.
Rantailah iman kita yang tersemat di dalam dada kita dengan sekuat mungkin. Jangan biar ia londeh semasa kita berdiri, berjalan dan berlari dan berusaha kita menjadi orang yang soleh. Sungguh untung nasib manusia yang soleh. Diceritakan dalam sebuah hadis qudis, maksudnya “Daripada Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengari oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).