Definisi Cinta Di Salah Ertikan
Menjadi seorang manusia adalah perkara yang sangat payah. Bergelumang dengan dosa dan noda adalah suatu perkara buruk dan tidak seharusnya bagi seseorang manusia. Malah berjuang bermujahadah dalam melawan nafsu adalah tuntutan utama bagi kita.
Salah satu daripada naluri yang selalu dipesongkan adalah cinta. Cinta adalah suci dan saya kira tidak perlu bagi saya untuk mendefinisikannya secara formal kerana masing-masing mempunyainya dan merasainya.
Akan tetapi, sangat menjadi masalah apabila seorang remaja lelaki yang baru menjejak usia remaja sudah mempunyai perasaan terhadap gadis yang juga bayanya. Adakah ini yang dinamakan cinta? Adakah ini perasaan yang suci yang disebut-sebut tadi? Sedarlah, perasaan itu bukanlah cinta mahupun persaan yang suci. Cinta bagi pasangan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin bukanlah cinta. Perasaan tersebut lebih sesuai dinamakan dengan “Pesona Berahi”.
Syaitan Adalah Dalang Pesona Berahi
Pesona, itulah kata sifat yang menunjukkan seorang sedang ralik dan asyik dengan sesuatu perkara. Berahi pula bermaksud keinginan untuk berpasangan lawan jantina iaitu antara lelaki dan perempuan.
Sudah kita sedar bahawa memang tiada istilah cinta sebelum kahwin. Jadi perasaan yang dianggap ‘cinta’ itu sebenarnya hanyalah pesona berahi semata. Keinginan atau khayalan untuk menjalinkan perhubungan suami isteri antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin adalah perkara yang diombakkan oleh syaitan. Semakin manusia itu asyik dengannya, makin kuat ombak pujukan syaitan menghempas pantai jiwa keduanya. Lalu keduanya menjadi pantai yang diubah oleh syaitan. Pastinya corak pantai tersebut akan mengundang murka daripada Allah seterusnya menjadikan perhubungan keduanya diselubungi maksiat dan jauh daripada rahmat Allah Taala.
Cinta yang sebenarnya bagi seorang lelaki dan perempuan hanyalah selepas berkahwin. Sungguh suci dan mulia perhubungan suami isteri yang telah disambung dengan ijab dan qabul. Yang mendapat restu daripada ibubapa dan sanak saudara. Keindahan cinta tersebut hanyalah dapat dirasai oleh orang yang sudah bergelar suami dan yang bergelar isteri sahaja. Selain daripadanya, perasaan yang dimilikinya adalah pesona berahi semata-mata.
Cinta Dahulu, Kini Dan Selamanya
Cinta yang mulia hanyalah pada Allah. Sejak kita belum ditempatkan di rahim ibu kita lagi, sebenarnya kita sudah memulakan janji dan cinta kepada Allah. Akan tetapi kerana kelalaian kita di dunia ini, kita telah melupakan Allah dan meletakkan Allah jauh dibelakang mata kita. Segala gerak geri kita bagaikan tiada yang memerhati. Sedarlah, semua yang kita lakukan sejak kita mula baligh, maka dosa dan pahala amalan kita sudah di masukkan ke dalam karung amalan kita sendiri. Akhirnya, kita akan membawa karung tersebut dan mempersembahkannya di hadapan Allah nanti.
Tanpa cinta kepada Allah, bagaimanakah karung tersebut akan membantu seseorang mendapat tempat yang bernama syurga? Pastinya tidak. Bahkan, tanpa cinta kepada Allah, karung yang kita bawa hanyalah karung yang membawa bom yang akan memudaratkan diiri kita sendiri. Begitulah perumpamaan yang mudah untuk kita fahami. Jadi, ingatlah bahawa kita sebenarnya hanyalah hamba yang lemah dan tidak berdaya. Menjadikan Allah sebagai cinta utama adalah yang terbaik buat kita. Sebenarnya kita bukan terpaksa untuk melakukannya, kerana cinta kepada Allah adalah fitrah insani sejak dahulu, kini dan selamanya.
No comments:
Post a Comment