Sunday, 9 October 2011

Jiwa yang Merdeka

Kemerdekaan yang kita pandang sekarang adalah hanya sekadar kemerdekaan daripada kekuasaan manusia, kelaparan, kemusnahan dan sebagainya. Masing-masing kita berusaha sedaya-upaya untuk bebas daripadanya. Namun, kita tidak sedar bahawa kemerdekaan yang lebih besar adalah merdeka daripada penguasaan syaitan ke atas diri kita.
Sebagai seorang mukalaf yang di amanahkan oleh Allah untuk menjadi hamba yang mengabdikan diri kepadaNya, maka tidak boleh tidak, segala tindak tanduk kita haruslah bedasarkan jalan yang izinkan oleh Allah Taala. Maksud daripada ayat al-Quran berbunyi ‘tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menghambakan diri kepada aku‘. Apakah kita juga lupa bahawa kita telah berjanji dengan Allah sebelum kita menjejakkan kaki di bumi ini? Apabila kita disoal tentang siapakah pencipta kita, kita semua mengakui bahawa Allah adalah pencipta kita. Akan tetapi, apabila kita lahir ke dunia dan melihat segala kemewahan yang menipu, maka kita terabai dengan perkara tersebut. Maka apabila kita telah tenggelam dalam dunia dan mengabaikan perkara suruhan Allah, dalam tidak sedar sebenarnya jiwa kita telah terpenjara dalam penjara buatan kita sendiri.
Membebaskan Hati
Ummu Salamah berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tiada seorang pun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah ayat 156 al-Baqarah) yang bermaksud, ‘sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya (Allah) jualah tempat kembali kami’. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya,’ melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”(Riwayat Muslim)
Sememangnya kita hidup sebagia manusia tidak akan terlepas daripada masalah dan juga cabaran. Semakin banyak masalah yang dihadapi oleh seseorang, semakin matang jiwa dan rohaninya jika dia menggunakan jalan Allah sebagai alas atau daras untuk menyelesaikan masalahnya. Akan tetapi pada zaman kita ini, kebanyakan daripada kita menyelesaikan masalah dengan cara yang sebaliknya. Walaupun ada daripada kita menamakan zaman kini sebagai zaman moden, namun masih ramai yang menggunakan sihir, ilmu hitam dan sebagainya bagi membolehkan masalah yang dihadapi selesai dengan cepat. Mereka tidak sedar bahawa hal itu bukanlah menyelesaikan masalah mereka, bahkan bertambah menjadi koleksi masalah mereka. Inilah bukti bahawa jiwa manusia tersebut masih belum merdeka. Masih melingkar dan berpaut sesama makhluk yang sama-sama lemah. Seharusnya kita berubah dan mula menjejak wangian restu Allah yang hakiki.
Berubah dan bangunlah!
Jika selama ini kita dibelenggu dunia, maka berubahlah. Jika kita sebelum ini tidak boleh hidup tanpa pertolongan oleh sesama makhluk, maka berubahlah. Allah s.a.w sangat adil dan teliti dalam semua perkara. Kita perlu sedar dan mengakuinya.
Ayuh kita teliti hadis di bawah:
Daripada Shuhaib r.a sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: ‘sungguh menakjubkan kerja orang Islam, sesungguhnya semua urusannya adalah kebaikan. Apabila mendapat nikmat, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan apabila ditimpa ujian (kesempitan), maka dia bersabar dan itu kebaikan baginya.’ (Riwayat Muslim dalam az-zuhud, no. 8, halaman. 125)
          Kembalilah pada Allah kerana sesungguhnya kemerdekaan yang sebenar hanyalah kemerdekaan daripada api neraka dan mendapat ganjaran syurga. Oleh itu, sama-samalah kita memerdekakan diri kita dan pulang kepada Allah dan penuhi janji kita kepadaNya.

No comments:

Post a Comment